CALON Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kurang senang dengan panggilan boneka yang ditujukan kepadanya dan mendakwa beliau mempunyai kredibiliti sebagai wakil untuk rakyat.
Masuk hari keenam berkempen, beliau yang juga Presiden PKR masih berusaha meyakinkan pengundi di kawasan DUN itu berkenaan kemampuannya membela kebajikan penduduk di Kajang.
Dr Wan Azizah turut berharap agar tidak dikaitkan dengan imej suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jangan kata saya boneka… saya bukan boneka.
“Saya ada pengalaman untuk bantu rakyat, tolong jangan panggil saya boneka,” katanya ketika berkempen di Pasar Sungai Chua, Kajang hari ini.
Sebelum ini Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin pernah menggelarkan Dr Wan Azizah sebagai bonek kepad Anwar yang juga Ketua Umum PKR.
Panggilan itu diberikan selepas beliau dipilih oleh Anwar untuk bertanding selepas Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac lepas kerana kesalahan meliwat.
Anwar sebelum ini sepatutnya bertanding pada pilihan raya itu selepas diberikan laluan oleh penyandang kerusi DUN Kajang, Lee Chin Cheh yang meletakkan jawatan.
Langkah itu yang diberi jolokan “Kajang Move” itu adalah bagi membolehkan Anwar dilantik sebagai Menteri Besar Selangor mengggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Semalam, Khairy tampil menjelaskan bahawa kenyataannya itu bukan bersifat peribadi atau bertujuan menghina Dr Wan Azizah.
PRK Kajang akan memperlihatkan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun dan Dr Wan Azizah.
Hari pengundian ditetapkan pada 23 Mac depan.
0 comments:
Post a Comment