LONDON – Firma rangkaian satelit Britain, Inmarsat menggunakan fenomena gelombang yang ditemui pada kurun ke-19 untuk menganalisis tujuh bunyi denyut elektronik atau ‘ping’ yang diterima satelitnya dari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menentukan destinasi akhir pesawat berkenaan di lokasi terpencil di selatan Lautan Hindi.
Penemuan baharu itu mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merumuskan kelmarin bahawa pesawat Boeing 777-200ER tersebut yang hilang sejak 8 Mac lalu terhempas di selatan Lautan Hindi dengan semua 227 penumpang dan 12 krunya terbunuh.
Kapal terbang itu dilengkapi sistem satelit Aero Klasik yang mengumpulkan maklumat seperti lokasi, ketinggian, arah dan kelajuan sebelum menghantar maklumat tersebut melalui rangkaian satelit Inmarsat ke pangkalan data firma berkenaan.
Sistem satelit itu dikenali sebagai Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS).
Namun, ACARS pesawat MH370 itu dimatikan atau tergendala pada awal penerbangan yang menyebabkan tiada maklumat yang diterima untuk mengesan kapal terbang tersebut.
Pesawat itu didapati masih menghantar bunyi ‘ping’ pada setiap jam yang diterima satelit Inmarsat.
Sekurang-kurangnya ‘ping’ itu dihantar lima jam selepas ia meninggalkan ruang udara Malaysia.
Bunyi ‘ping’ yang dihantar selepas semua sistem telekomunikasi pesawat terhenti menunjukkan kapal terbang Boeing itu terus terbang selama beberapa jam selepas ia hilang selepas melencong dari laluan penerbangannya ketika ia perlu memberitahu menara kawalan Vietnam.
Pesawat dari Kuala Lumpur sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada 8 Mac lalu.
Namun, bunyi ‘ping’ tersebut tidak mengandungi sebarang data tetapi hanya masa dan frekuensinya terkandung petunjuk-petunjuk matematik yang tersembunyi.
Pakar-pakar Amerika Syarikat dan Australia menggunakan maklumat frekuensi itu untuk memutuskan bahawa pesawat itu hilang di Koridor Selatan iaitu di Lautan Hindi dan bukan di Koridor Utara di Asia Tengah.
Maklumat tersebut turut menunjukkan bahawa pesawat itu bergerak pada ketinggian tetap melebihi 9,000 meter.
“Ia seperti menembak di dalam kegelapan (misi mencari lokasi akhir MH370).
“Saya memuji pasukan saintis yang dapat melakukan pengiraan tersebut,” kata Timbalan Presiden Kanan Hal Ehwal Luar Inmarsat, Chris McLaughlin dalam wawancara bersama Perbadanan Penyiaran British (BBC).
“Hanya satu ‘ping’ digunakan untuk menyatakan bahawa pesawat itu masih terbang. Kami kemudian membandingkan MH370 dengan penerbangan Boeing 777-200 lain untuk merumuskan bahawa ia menuju ke selatan Lautan Hindi,” katanya.
Menurut McLaughlin, berdasarkan masa yang diambil untuk isyarat ‘ping’ itu sampai ke satelit Inmarsat dan sudut penerbangan MH370, pihak Inmarsat kemudian memberikan dua laluan iaitu berpotensi MH370 iaitu Koridor Utara dan Koridor Selatan.
“Kami menggunakan kesan Doppler yang merupakan perubahan frekuensi disebabkan pergerakan sebuah satelit di orbit (untuk mengesan lokasi MH370),” tambahnya.
“Kami juga tidak mengetahui sama ada pesawat itu terbang pada kelajuan yang konsisten. Kami juga tidak mengetahui sama ada arahnya kemudian berubah,” jelasnya.
Justeru, katanya, kami menggunakan kelajuan sistem pengesan penerbangan pandu automatik iaitu pada kira-kira 350 knot.
“Kami menggunakan apa yang kami tahu mengenai minyak dan jarak pesawat itu untuk dipadankan dengan maklumat ‘ping’ yang kita peroleh,” tambahnya.
Saintis-saintis Inmarsat kemudian memeriksa isyarat ‘ping’ itu menggunakan teknik berdasarkan hukum fizik yang dikenali sebagai Efek Doppler yang ditemui pada kurun ke-19.
Efek Doppler pernah merungkaikan punca bunyi siren kereta polis berubah apabila ia menghampiri dan melintasi seseorang individu.
“Ia mengenai perubahan gelombang frekuensi MH370 dan kaitannya dengan satelit Inmarsat,” kata seorang jurucakap firma berkenaan.
“Kami kemudian menganalisis data itu dan mendapati ia melalui laluan selatan,” kata ketua komunikasi korporat Inmarsat, Jonathan Sinnatt. – Agensi
0 comments:
Post a Comment