LOS ANGELES – Aktres Lupita Nyong berjaya merangkul anugerah Pelakon Pembantu Terbaik bagi lakonan dalam filem 12 Years A Slave. Namun tidak semua orang mengetahui mengenai penderitaan keluarga Lupita di Kenya.
Bapanya, Peter Anyang Nyong mendedahkan bagaimana dia telah disiksa berulang kali manakala mayat adiknya yang juga bapa saudara Lupita, Charles Nyong tidak pernah ditemui selepas diserang dalam feri.
“Adik saya hilang pada 1980. Kami tidak pernah menemui mayatnya dan kes itu tidak pernah selesai. Kami tidak tahu siapa pembunuhnya. Semua saksi yang ada tidak berani membuka mulut,’’ katanya.
Peter, yang kini merupakan pemimpin politik dan ahli akademik di Kenya ketika itu berjuang menentang Presiden Kenya, Daniel arap Moi.
Dia mengaku penderitaan yang dialami oleh keluarganya menyebabkan dia dan isterinya melarikan diri ke Mexico.
Lupita dilahirkan di Mexico pada 1983.
“Kami telah dimasukkan ke dalam penjara dan disiksa oleh tentera rejim. Ia sangat berbeza dengan penderitaan yang dialami oleh hamba dalam filem itu,’’ katanya.
Menurut Peter, selepas kembali ke Kenya pada 1987, mereka sekeluarga terpaksa bersembunyi di sebuah rumah selepas diganggu dan ditangkap disebabkan dia cuba menubuhkan sebuah parti demokratik.
Sementara Lupita dan lima saudaranya yang lain terpaksa berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat dengan hampir setiap minggu bapanya dibawa ke lokap polis.
Peter turut menyifatkan kejayaan Lupita membawa watak yang diberikan kepadanya adalah disebabkan ketabahannya menerima penderitaan yang dialami keluarganya.
Dia dan isterinya, telah bertolak dari Kenya ke Los Angeles bagi menyaksikan anugerah Oscar itu.
0 comments:
Post a Comment