JEDDAH – Selama 50 tahun penduduk di bandar al- Balad melihat Eisha, yang berusia 100 tahun dan buta itu meminta sedekah dengan duduk di tepi bangunan dan jalan.
Namun selepas kematian Eisha , penduduk di situ amat terkejut apabila mendapati wanita tua itu mempunyai harta yang banyak dengan anggaran bernilai lebih RM3 juta.
Ia meliputi empat bangunan, barang kemas dan wang syiling serta wang tunai.
Menurut jirannya, Ahmed al-Saeedi, yang sama sama membesar dengan Eisha di daerah itu, wanita tua itu tidak mempunyai saudara mara kecuali ibu dan kakaknya, yang juga mengemis.
“Mereka mendapat simpati orang ramai terutama pada musim Hari Raya Aidilfitri. Selepas kematian ibu dan kakaknya, Eisha terus mengemis,’’ katanya.
Menurut Ahmad, dia cuba meyakinkan Eisha supaya berhenti daripada meminta sedekah kerana dia sudah mempunyai wang, namun Eisha enggan kerana dia mahu bersiap sedia jika menghadapi masalah kewangan.
Eisha juga memberikan semua duit syiling emasnya kepada Ahmad untuk dijaga hinggalah dia memutuskan untuk menjual syiling berkenaan.
“Dia menyerahkan syiling emas itu 15 tahun yang lalu kepada saya, bayangkanlah berapa harganya ketika ini,’’ katanya.
Menurut Ahmad, dia telah melaporkan kepada polis mengenai harta milik Eisha dan meminta mereka mengendalikannya mengikut saluran undang-undang.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini pihak berkuasa masih belum melakukan apa-apa terhadap wang berkenaan, jadi beliau menyerahkan syiling emas itu kepada seorang lelaki yang dihormati di bandar itu, yang kemudiannya berjanji menyerahkan kepada polis.
Ahmad juga meminta keluarga yang menetap di empat bangunan milik Eisha supaya berpindah bagi membolehkan bangunan itu diserahkan secara rasmi kepada pihak berkuasa.
“Namun penduduk di situ enggan berpindah kerana mereka berkata mereka tidak menyewa bangunan itu dan Eisha membenarkan mereka menetap di situ secara percuma,’’ katanya.
Dalam pada itu, ketua daerah Al-Balad, Tal’at Ghaith berkata, meskipun dia adalah pemimpin masyarakat di situ, namun dia tidak mempunyai kuasa untuk menyuruh penduduk di situ mengosongkan bangunan tersebut.
0 comments:
Post a Comment