ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan menyalurkan bekalan air bagi penanaman padi musim 1/2014 mengikut jadual yang ditetapkan kerana tiga empangan utama di Kedah masih berupaya membekalkan air secukupnya walaupun cuaca kering dan kemarau ketika ini.
Sehubungan itu, bekalan air akan disalurkan ke kawasan penanaman padi seluas 90,234 hektar dalam tiga fasa iaitu fasa satu pada 26 Mac membabitkan kawasan seluas 32,891 hektar, fasa kedua pada 9 April (38,140 hektar) dan fasa ketiga pada 23 April (19,203 hektar).
Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz berkata petani diminta mematuhi jadual penanaman yang ditetapkan dengan tarikh akhir menabur benih untuk fasa satu pada 23 April, fasa kedua (7 Mei) dan fasa ketiga (21 Mei) kerana tarikh akhir bekalan air adalah pada 22 Julai untuk fasa satu, 5 Ogos (fasa kedua) dan 19 Ogos (fasa ketiga).
“Saya seru semua petani di kawasan Mada supaya ikut jadual ditetapkan supaya tak timbul masalah. Tak nak jadi macam baru-baru ini ada petani minta bekalan air disalurkan kerana bimbang dengan musim kemarau,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi yang melibatkan pengurusan tertinggi Mada dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di ibu pejabat Mada di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi penanaman padi musim 1/2014 dan 2/2014, kawasan yang terlibat adalah berkurangan sebanyak 6,324 hektar melibatkan 10 PPK, kerana kawasan itu ada masalah tanah jerlus dan akan dilaksanakan kerja-kerja pemulihan tanah.
“Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan peruntukan RM36 juta untuk bayaran wang ihsan sebagai ganti rugi dua musim petani terlibat tak dapat buat bendang. Bendang direhatkan selama dua musim untuk kerja-kerja pemulihan.
“Proses pemulihan itu melibatkan RM27 juta untuk membaik pulih infrastruktur, pengairan dan saliran. Harap (kawasan bendang) itu dapat diselamatkan dan tiada lagi tanah jerlus,” katanya.
Othman berkata, walaupun proses pemulihan itu hanya membabitkan kawasan seluas 6,324 hektar, jika berjaya dilakukan ia akan mengurangkan kerugian hasil sebanyak RM100 juta setahun iaitu RM50 juta bagi satu musim.
Sementara itu, katanya, walaupun berhadapan dengan cuaca kering dan kemarau, bagi penanaman padi musim 2/2013, hampir 90 peratus sudah selesai tuaian.
“Sehingga 10 Mac 2014, purata hasil pengeluaran padi bagi musim 2/2014 mengikut bancian awal ialah 6.25 tan sehektar. Hasil tuaian akhir musim 2/2013 dijangka melebihi purata hasil tuaian musim 2/2012 iaitu 5.27 tan sehektar. Walaupun kemarau, pengurusan saliran yang baik dapat membekalkan air mencukupi untuk mencapai hasil lebih baik berbanding 2012,” katanya.
Mengenai isu bekalan air, Othman berkata kedudukan takungan tiga empangan di bawah Mada iaitu Pedu, Muda dan Ahning ketika ini masih mampu menampung keperluan pertanian, domesik dan industri di negeri ini.
“Kedudukan takungan air tiga empangan itu ketika ini adalah 68 peratus. Enpangan Pedu iaitu empangan utama kini berada pada tahap 71.6 peratus. Hujan sejak semalam menyaksikan kawasan tadahan sudah menerima 70 mm,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment