KUALA LUMPUR – Nampaknya Ahli Parlimen Batu, Tian Chua daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak serik untuk terus mempolitikkan insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 meskipun dicemuh dan dikecam hebat ramai pihak kerana berbuat demikian sebelum ini.
Jika sebelum ini beliau mempertikaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengadakan sidang akhbar MH370 ketika sesi Parlimen sedang berlangsung dan tidak membuat pengumuman itu di Parlimen.
Hari ini pula beliau menuduh MAS tidak peka terhadap perasaan keluarga mangsa MH370 kerana sekadar memaklumkan insiden itu kepada mereka menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Saya menggesa MAS menggunakan kaedah yang lebih sesuai untuk mengendali situasi ini. Saya tidak akan membiarkan tindakan seperti berhubung dengan ahli keluarga melalui teks mesej untuk memaklumkan mereka tentang situasi itu seperti dilaporkan SkyNews.
“Selepas lebih dua minggu mereka menunggu berita baik dalam keadaan cemas, menerima teks mesej dengan berita seperti itu amat memedihkan,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Tuduhan itu bercanggah dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya sebelum yang menegaskan maklumat tentang pesawat MH370 terhempas di Lautan India disampaikan kepada lebih 1,000 ahli keluarga oleh MAS sendiri dan bukan menerusi media atau SMS.
Tian Chua yang juga Naib Presiden PKR dalam pada itu mendakwa, tragedi MH370 telah menyebabkan dunia mempunyai impresi negatif ke atas Malaysia malah ada pihak berpandangan kerajaan Malaysia tidak cekap dan cuba menyembunyikan maklumat.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen berhubung insiden pesawat MH370.
Tian Chuan dalam akaun Twitternya baru-baru ini memuat naik komen berbunyi, “Perdana Menteri membuat kenyataan mengenai MH390 pada pukul 10 malam ketika sesi Parlimen berlangsung. Kenapa beliau tidak boleh mengikut Perdana Menteri Australia yang melaporkan perkembangan (MH370) di Parlimen?).
Komen itu dimuat naik oleh Tian Chua dalam akaun Twitternya sejurus selepas Najib mengumumkan pesawat MH370 yang hilang daripada radar sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di tengah-tengah Lautan Hindi di kawasan barat Perth, Australia dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.
0 comments:
Post a Comment