BUTTERWORTH – Seorang pekerja di tapak pembinaan nyaris maut apabila sebuah kren yang di gunakan untuk kerja-kerja di situ tumbang secara tiba-tiba dalam satu kejadian di tapak projek rumah teres dua tingkat di Sungai Dua, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi, pekerja terbabit yang berusia lingkungan 30-an bernasib baik kerana hanya mengalami cedera ringan selepas terkena serpihan kayu yang melantun ke arahnya.
Difahamkan, ketika kejadian kren itu sedang mengangkat bahan binaan sebelum ia hilang kawalan dan senget di bahagian kiri membuatkan tayarnya terangkat dan besinya jatuh di atas rumah yang masih dalam pembinaan.
Seorang pekerja di tapak pembinaan itu yang enggan dikenali berkata ketika kejadian tidak ramai pekerja bertugas di kawasan berkenaan dan mangsa yang mengalami kecederaan ringan sempat melarikan diri selepas melihat besi kren berkenaan jatuh.
“Jika dia tidak sempat mengelak kemungkinan kren itu akan menghempapnya dan pekerja berkenaan pasti cedera parah bagaimanapun dia bertindak pantas dengan melarikan diri.
“Mangsa hanya terkena serpihan kayu yang melantun ke arahnya dan dia hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Seberang Jaya,” katanya.
Pekerja itu berkata kren berkenaan kemungkinan mengangkat beban berat hingga menyebabkannya hilang kawalan sebelum tumbang dan menghempap rumah yang masih dalam pembinaan itu.
Untuk rekod, kejadian kren tumbang itu adalah kali ketiga berlaku pada tahun ini di Pulau Pinang dan satu daripadanya menyebabkan seorang wanita yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas dia melanggar besi kren yang melintang jalan.
Kejadian yang berlaku pada 24 Januari lalu di depan Masjid Negeri menyebabkan mangsa Che Fatimah Ishak, 50, maut akibat kecederaan parah di kepala.
Empat hari sebelum itu, tiga pelajar kolej swasta yang mengambil gambar pemandangan daripada atas sebuah kren di Jalan Lebuh King nyaris maut apabila
jentera terbabit tumbang dan menghempap sebuah rumah teres dua tingkat. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment