ROMPIN – Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai mencuri 20 biji bateri berkapasiti 12V/150 AH bernilai RM16,000 di sebuah kabin pencawang syarikat komunikasi di bandar ini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin Supt Johari Yahaya berkata polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat sebelum berjaya memberkas suspek kira-kira jam 8.30 malam.
Katanya hasil pemeriksaan polis menemui 16 biji bateri bersama tiga suspek tersebut dan pemeriksaan lanjut di dalam lori milik suspek berjaya menemui empat lagi bateri selain peralatan yang digunakan suspek untuk memecah masuk kabin pencawang berkenaan.
“Siasatan awal juga mendapati salah seorang daripada suspek terbabit turut memiliki rekod jenayah lampau bersabit penyalahgunaan dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata polis percaya kesemua suspek yang berusia lingkungan 20-an itu terbabit dengan beberapa lagi kes kehilangan bateri di pencawang syarikat komunikasi lain di daerah ini.
Kesemua suspek katanya direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment