Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sidang media sebentar tadi, mengumumkan bahawa siasatan kes kehilangan pesawat MH370 sejak awal pagi Sabtu lalu kini memasuki fasa baru.
Hal ini susulan maklumat terbaru yang diterima Kerajaan Malaysia, termasuk waktu terakhir komunikasi pesawat dengan radar primari adalah pada 8.11 pagi, 8 Mac lepas.
Justeru, usaha Mencari dan Menyelamat (SAR) yang sebelum ini ditumpukan di sekitar Laut China Selatan akan ditamatkan manakala penyiasatan kini bakal dilakukan di dua blok iaitu Koridor Utara dan Koridor Selatan dengan pertambahan bilangan aset.
Koridor Utara meliputi sempadan Thailand ke sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan manakala Koridor Selatan, merentasi Utara Indonesia hingga Selatan Laut Hindi.
Kenyataan Najib ini sekaligus menjelaskan mengapa ramai wakil kedutaan asing turut menghadiri sidang media hari ini.'
Ia disebabkan Kerajaan Malaysia akan memberi taklimat khas kepada wakil kedutaan luar negara terlibat yang mungkin dapat membantu usaha terbaru pencarian pesawat MH370 yang kian misteri.
Turut diberikan penerangan, wakil negara yang mempunyai rakyatnya sebagai penumpang dalam penerbangan tersebut.
Biarpun media sudah mula melaporkan bahawa berlaku rampasan pesawat MH370, Najib bagaimana pun memilih untuk menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia masih menyiasat punca sebenar mengapa pesawat tersebut dilencongkan daripada destinasi asalnya.
Menerusi sidang media hari ini, Najib turut mengakui siasatan kini merangkumi aspek lebih menyeluruh termasuk memfokuskan kepada penumpang dan anak kapal MH370.
Difahamkan, fasa baru siasatan ini sudah terlebih dahulu dimaklumkan oleh MAS kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat yang terlibat, pagi tadi.
- REM RAMZI
0 comments:
Post a Comment