DUNGUN – Seorang pekerja kontrak sanggup menjadikan isteri dan bayinya berusia sebulan sebagai alat untuk mengaburi pihak berkuasa dalam usahanya mengedarkan dadah berbahaya kepada penagih.
Bagaimanapun taktik suspek berusia 28 itu berjaya dihidu polis ketika dia bersama isteri dan bayinya dipercayai dalam perjalanan menaiki Perodua Myvi untuk bekalkan barang larangan itu kepada individu berkaitan.
Ketika ditahan, suspek yang bekerja di syarikat swasta petrokima itu dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Wakaf Tengah Kuala Terengganu menuju ke rumah bapa mertuanya di Paka.
Sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Sub Inspektor Ismail Omar yang mendapat maklumat berjaya mengesan kenderaan suspek lalu menahannya di sebatang jalan berdekatan kampung Serdang.
Sebaik menyedari kenderaannya dipintasi, suspek dipercayai cuba meloloskan diri dengan keluar dari kereta dipandu lalu berlaku pergelutan.
Pemeriksaan lanjut polis menemui 200 biji pil kemerahan disyaki dadah jenis methampethamine dalam beg sandangnya.
Dadah yang popular dengan nama pil kuda itu dianggarkan bernilai RM5,000 dan dipercayai bakal diedarkan kepada penagih sekitar.
Suspek terbabit yang berasal dari Kuala Terengganu bersama isterinya yang merupakan pelajar kolej swasta di Kuala Terengganu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut.
Kereta Perodua Myvi dinaiki suspek juga ditahan untuk siasatan lanjut manakala isteri dan bayi mereka dibebaskan selepas polis merekodkan keterangan diberikan.
Bagaimanapun ujian saringan air kencing mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.
Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan tangkapan tersebut. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment