TAWAU – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah meluluskan peruntukan RM200,000 bagi pembinaan dewan serbaguna di Kampung Batu Dua, Jalan Apas di sini bagi kemudahan aktiviti dan kegunaan masyarakat setempat.
Menterinya Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata pembinaan dewan itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan dijangka siap pada tahun ini juga.
“Apabila dewan itu siap kelak, ia akan dapat memberi manfaat kepada 5,000 penduduk. Saya harap dengan adanya kemudahan itu penduduk setempat dapat melakukan pelbagai aktiviti di situ,” katanya kepada pemberita selepas program gotong-royong di Kampung Batu Dua, Jalan Apas di sini, pagi ini.
Mengenai program gotong royong itu, beliau berkata aktiviti itu mampu mengeratkan hubungan serta memupuk perpaduan.
“Aktiviti gotong-royong bukan sahaja bertujuan untuk membersihkan sesuatu kawasan, tetapi ia juga bertujuan untuk mewujudkan semangat kerjasama di kalangan masyarakat. Oleh itu saya menyarankan supaya kita sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment