LAHORE – Seorang remaja Pakistan mati akibat kecederaan yang dialaminya selepas membakar diri di luar sebuah balai polis berikutan tindakan pihak berkuasa membebaskan lelaki yang didakwa merogolnya.
Aamna Bibi, 18 membakar diri di luar balai polis di daerah Muzaffargarh di Punjab selepas perogolnya berjaya merasuah pihak polis untuk membebaskan diri, lapor media tempatan.
Mangsa dibawa ke hospital dengan mengalami 80 peratus kesan kebakaran pada tubuhnya tetapi meninggal dunia pada hari berikutnya berikutan kecederaan parah yang dialaminya.
Aamna disahkan mati kelmarin selepas kejadian yang berlaku di kampung Beit Mir Hazar Khan, kata ketua polis daerah Muzaffargarh, Usman Akran Gondal.
Gondal berkata abang mangsa memfailkan laporan kepada pihak polis pada Januari mengatakan adiknya itu diculik dan penyerang cuba merogolnya.
Katanya pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu tetapi tidak menemui bukti untuk menyokong dakwaan menyebabkan suspek dibebaskan.
Bagaimanapun media tempatan melaporkan bahawa seorang daripada penyerang dibebaskan selepas merasuah pihak polis dengan sejumlah wang yang besar.
Suspek kemudian diisytiharkan tidak bersalah oleh pegawai penyiasat, Zulfiqar Ahmed selepas membayar sejumlah 70,000 rupee (RM2,300), lapor International Business Times.
Suruhanjaya Hak Asasi Pakistan berkata wanita terbabit ke balai polis untuk membantah kejadian itu tetapi akhirnya memutuskan untuk membunuh diri kerana ketidakadilan itu. – AGENSI
0 comments:
Post a Comment