URUGUAY 0
COLOMBIA 2
James Rodriguez (m28,50)
RIO DE JANEIRO – Colombia menempah tiket ke pertembungan suku akhir yang getir bertemu tuan rumah, Brazil hasil kemenangan 2-0 ke atas Uruguay pada pertembungan menarik pusingan kedua di Stadium Maracana, di sini, sebentar tadi.
Gah mara ke peringkat 16 terakhir selaku juara Kumpulan C, ia bakal menjadi aksi sulung Colombia di pentas suku akhir sepanjang penampilannya di Piala Dunia dengan magis yang diharapkan Uruguay di Maracana tidak kesampaian.
Tanpa peledak berbisa, Luis Suarez yang digantung daripada sebarang aksi bola sepak selama empat bulan, Uruguay jelas tumpul di bahagian serangan sekalipun dikuatkan dengan seorang lagi penyerang berbisa, Edinson Cavani.
Malah sekalipun lebih rancak menyerang memburu jaringan, Uruguay terlebih dulu dibolosi Colombia menerusi jaringan menarik James Rodriguez pada minit ke-28 selepas melepaskan satu rembatan voley cantik dari luar kotak penalti yang gagal ditampan penjaga gol, Fernando Muslera.
Tersentak dengan jaringan itu, Uruguay menambah tekanan dengan peluang terbaik hadir pada minit ke-38 menerusi cubaan Alvaro Gonzalez dari luar kotak penalti berjaya namun diselamatkan penjaga gol Colombia, David Ospina sehingga berakhir babak pertama.
Babak kedua tambah rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun sekali lagi, Rodriguez terus mencuri tumpuan apabila meledak jaringan kedua peribadinya lima minit selepas sepak mula perlawanan.
Hasil kelam kabut di depan gawang Uruguay dimanfaat sepenuhnya Rodriguez untuk menjaring gol kelimanya pada kempen kali ini menerusi rembatan padu yang sekali lagi menewaskan Muslera.
Empat minit selepas gol kedua, Uruguay memperoleh peluang menerusi hantaran jauh kapten, Diego Godin daripada jarak 54 meter ke kotak penalti namun ia gagal dikawal baik oleh Cavani untuk berakhir di luar gawang gol.
Peluang terbaik Uruguay terus muncul pada minit ke-83 kali ini menerusi penyerang gantian, Christian Stuani namun Ospina terus menjadi penghalang.
Stadium Maracana boleh dianggap keramat buat Uruguay yang pernah menewaskan Brazil pada aksi final 1950. – Agensi
0 comments:
Post a Comment