ALOR SETAR – Walaupun amaran dan penguatkuasaan dilakukan, namun sindiket nikah poligami ekspres masih dikesan bergiat aktif dengan menyebarkan risalah berkenaan kepada orang ramai di beberapa negeri, termasuk Kedah.
Dengan tag line ‘untuk yang berani sahaja’, bagi menarik perhatian, sindiket tersebut dipercayai turut menyediakan pakej lengkap pernikahan yang berlangsung di Songkhla, Thailand.
Difahamkan, sindiket berkenaan sedia membantu pasangan yang bermasalah untuk berpoligami kerana faktor kewangan, undang-undang dan halangan keluarga.
Dengan tawaran harga serendah RM2,500, sudah pasti ia membuatkan pasangan berkenaan mendapatkan pakej tersebut.
Bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah pasangan untuk poligami, malah sindiket tersebut turut mendakwa jurunikah dan sijil nikah yang dikeluarkan adalah mendapat pengesahan Jabatan-jabatan Agama Islam di Malaysia.
Sindiket terbabit dilihat seolah-olah cuba menyediakan ruang untuk pasangan berpoligami secara rahsia tanpa pengetahuan isteri pertama mahupun mendapat kebenaran mahkamah terlebih dahulu.
Selain itu, pengangkutan pergi dan balik dari Alor Setar ke Thailand bagi urusan pernikahan juga disediakan sindiket terbabit.
Sejurus selesai pernikahan itu, mereka turut disediakan tempat penginapan di sebuah hotel mewah sekitar Alor Setar selama tiga hari, dua malam.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang wanita mendedahkan tidak sanggup bersekongkol dengan perbuatan salah suaminya berkahwin dengan isteri kedua menggunakan khidmat sindiket di Alor Setar.
Pernikahan poligami menerusi sindiket terbabit diketahui wanita tersebut selepas sijil nikah berkenaan dikesan palsu dan disahkan oleh Pejabat Agama Daerah Kota Setar.
Pasangan poligami itu kemudiannya mengakui telah berkahwin di sebuah bilik hotel sekitar Alor Setar menerusi sindiket sebagai jalan mudah.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, demi merahsiakan perkahwinan kedua mereka daripada diketahui isteri pertama, segelintir individu dikesan menggunakan sindiket penjualan sijil nikah poligami yang menyerupai sijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).
Menurut laporan itu, proses akad nikah pasangan tersebut dilakukan tanpa melibatkan wali terdekat pengantin perempuan.
Sindiket berkenaan juga dipercayai aktif sejak beberapa tahun lalu dengan mengenakan bayaran sekurang-kurangnya RM3,000 dan dikatakan mendapat sambutan hangat mereka yang mahu berpoligami.
Pada masa sama, mereka juga bijak memancing pasangan berkenaan dengan mempercepatkan pengeluaran sijil nikah poligami beberapa hari sebelum akad nikah berlangsung. – SINAR HARIAN
0 comments:
Post a Comment