Joachim Loew |
PORTO ALEGRE: Jurulatih Jerman, Joachim Loew akur dia tidak kenali pemain Algeria dan percaya bakal meniti ranjau sukar dalam pusingan kedua, awal pagi esok.
“Kami kurang kenal dengan nama-nama pemain mereka tapi sudah mengikuti persembahan mereka untuk beberapa tahun sebelum ini,” kata Loew ketika sesi latihan pasukan di Porto Alegre.
“Kami tahu bagaimana mereka berlatih....kami tahu pengaruh Perancis dalam pasukan itu. Kami juga tahu ramai daripada pemain skuad ini berlatih di Perancis bersama pasukan remaja. Nama mungkin kurang dikenali tapi saya percaya mereka ada kualiti mencabar kami.”
Algeria - antara pasukan yang membuat kejutan dalam kejohanan ini - berjaya layak ke kelompok 16 terakhir buat pertama kali.
Namun, Loew menegaskan Jerman sudah bersiap sedia dan mengerti apakah ramuan diperlukan apabila berdepan wakil dari Afrika Utara itu di Stadium Beira Rio.
Kelmarin, Loew turut mengesahkan pemain sayap, Lukas Podolski akan terlepas aksi menentang Algeria selepas tercedera otot di paha ketika perlawanan terakhir menentang Amerika Syarikat. - Reuters
0 comments:
Post a Comment