Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, June 28, 2014

No Comment

SHAH ALAM - Salah seorang saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan semalam di mahkamah tinggi berhubung kes bunuh kakitangan Ambank Subang Sentral, Norazita Abu Talib, 37, tidak sedarkan diri di kandang saksi dipercayai diserang penyakit sawan.

Bekas Penyelia Stor Senjata Syarikat Kawalan Prima, Mohamad Rahli Mohamed,37, tiba-tiba sahaja menggelupur di kerusinya ketika peguam bela, S Selvi mengemukakan soal balas terhadapnya.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir meminta bantuan polis mahkamah untuk menenangkannya sebelum menangguhkan prosiding selama 30 minit.

Lelaki itu dibawa keluar dari mahkamah dengan kerusi roda dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dengan ambulan.

Sebelum itu, lelaki tersebut hadir memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke 16 membuat pengecaman terhadap nombor siri serta senjata api yang digunakan oleh tertuduh, La Ode Ardi Rasila, 37, pada hari kejadian.

“Berdasarkan nombor ‘carry and use’(CNU), senjata api jenis pump gun ini  telah digunakan oleh Ardi,” katanya.

Berdasarkan keterangannya, setiap pergerakan senjata api direkodkan di dalam Senarai  Daftar Keluar Masuk Senjata api setiap hari.

“Bagaimanapun ada juga pergerakan yang tidak direkodkan berikutan penyelia atau pemandu zon kesuntukan masa untuk mengutip senjata api,” katanya.

Menurutnya, setiap pagi penyerahan akan dibuat kepada penyelia dan pemandu zon untuk diserahkan kepada pengawal keselamatan.

“Turut dibekalkan lima biji peluru bagi setiap senjata api. Kebiasaannya peluru itu disimpan oleh pengawal keselamatan di bank,” katanya.

Mohamad Rahli kemudiannya mengesahkan La Ode sebagai Ardi yang dikenalinya.

Dia yang bekerja di syarikat keselamatan itu sejak Januari 2011 tidak bersetuju terhadap soalan yang dikemukakan oleh Selvi bahawa Ardi tidak menjalani latihan menembak pada 29 September 2013 kerana takutkan bunyi kuat.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang merupakan pengawal keselamatan warga Indonesia, La Ode Ardi Rasila,37, dituduh membunuh Norazita antara jam 6 petang hingga jam 6.30 petang di Bangunan Ambank, Jalan USJ Sentral, Subang Jaya pada 23 Oktober 2013.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

La Ode turut didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Asyraf Md Kamal turut bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya bersama Mohd Azari Haron manakala tertuduh diwakili peguam bela, Selvi yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia.

Sumber: Sinar Online

0 comments:

Post a Comment