Man (kiri) dan anaknya, Siti menunjukkan tempat van tersebut diletakkan kepada wartawan Sinar Harian. |
“SAYA tidak mahu kejadian yang menimpa anak perempuan saya berulang kepada kanak-kanak yang lain dan mahu ibu bapa supaya berjaga-jaga dengan kes culik tersebut," demikian luahan bapa kepada mangsa kes cubaan culik di Bestari Jaya yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 36.
Man yang kecewa apabila tindakannya menyebarkan maklumat mengenai kes cubaan culik anaknya dalam laman sosial Facebook didakwa mengganggu siasatan pihak berkuasa.
Menurutnya, tindakannya itu hanya bertujuan memberi peringatan kepada ibu bapa untuk sentiasa memantau anak-anak supaya tidak menjadi mangsa kepada penculik sama yang tidak berhati perut.
“Selepas saya memuat naik status tersebut, saya dapat panggilan memberitahu status itu telah menjadi ‘viral’. Status itu juga dikatakan mengganggu siasatan polis.
“Menurut polis, kemungkinan untuk buat tangkapan dah berkurang kerana apabila penjenayah dah tahu yang kita ambil langkah berjaga-jaga, mereka akan melarikan diri. Kita buat perkara tersebut (sebar status) untuk elak anak-anak orang lain jadi mangsa dan umpan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mendengar kata-kata ingatan itu, Man tidak berasa hairan jika kes culik sebegini dipandang sepi sehingga penculik berani mengulangi perbuatan itu tanpa rasa takut.
Man dan keluarga yang tinggal di Kampung Bukit Tagar, 40 kilometer dari kawasan kejadian terpaksa menghantar anaknya ke sekolah di Bestari Jaya kerana tempat tinggalnya hanya mempunyai Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
Dalam masa sama, Man turut membawa wartawan Sinar Harian ke lokasi kejadian yang hanya 300 meter dari rumah nenek saudaranya, tempat anaknya tinggal seketika sebelum pulang ke rumah di Bukit Tagar pada sebelah malam.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan tersebut hanya dikelilingi pokok-pokok besar selain keadaannya yang sunyi, dan jika ada perkara-perkara seperti merompak atau culik, ia sukar disedari penduduk sekitar.
Kawasan tersebut merupakan laluan harian anaknya untuk ke sekolah. Anaknya terpaksa berjalan sejauh 200 meter untuk ke tempat menunggu van.
Terdapat juga sebuah taman permainan dan balai raya di kiri jalan tersebut yang dilihat terbiar.
Menurut Man, keadaan tersebut agak sunyi dan lengang daripada kenderaan mahupun laluan orang. Kawasan itu hanya sibuk pada waktu petang apabila beberapa anak muda beriadah di gelanggang berhampiran balai raya.
Mengimbas kembali hari kejadian, Man tidak menyangka kejadian tersebut menimpa anaknya.
"Saya sedang bekerja pada waktu itu mendapat panggilan daripada anak saya memberitahu hal berkenaan.
"Katanya, dia hampir diculik empat lelaki yang menaiki sebuah van. Mujur ada yang menyelamatkan anak saya, selepas gagal, empat lelaki tersebut bertindak melarikan diri menggunakan van yang di letakkan berhampiran kawasan tersebut,” katanya.
Terkejut dengan perkara itu, Man bergegas ke Balai Polis Bestari Jaya untuk membuat laporan.
Pihak sekolah tersebut turut mengeluarkan surat kepada semua ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan kejadian sama berulang selain pihak polis yang turut melakukan rondaan secara kerap di kawasan kejadian.
Leher diacu pisau potong sayur
TIADA siapa mahu kejadian seumpama ini berlaku pada diri atau ahli keluarga. Namun bagi kanak-kanak ini, kejadian hampir diculik merupakan pengalaman ngeri untuknya.
Sedia berkongsi cerita, Siti (bukan nama sebenar), 10, berharap di sebalik kisah pahit ini akan ada satu kekuatan untuknya menempuh kehidupan mendatang.
Siti sudah biasa pulang dari sekolah pada jam 1.50 petang setiap hari. Dia akan berjalan kaki melalui ‘jalan pintas’ menuju ke rumah nenek saudaranya.
Bagi Siti, sejak dahulu, rumah nenek saudaranya adalah tempat singgah untuknya bersiap untuk ke sekolah agama pula pada waktu petang. Siti dan abangnya hanya akan dijemput bapa mereka pada waktu malam.
Rutin harian Siti tidak pernah berubah. Berjalan kaki sejauh 200 meter bersama abangnya berusia 12 tahun menyusur jalan sunyi sudah dianggap biasa baginya.
Namun, siapa sangka pada hari kejadian, Siti yang seorang diri selepas abangnya tidak sihat, nyaris diculik dan apa yang lebih menyedihkan, penculik sanggup meletakkan pisau di leher seorang budak perempuan yang sememangnya tidak terdaya untuk melawan.
“Semasa saya berjalan pulang, ada empat orang lelaki jalan senyap-senyap belakang saya dan cuba menghampiri saya.
“Kemudian salah seorang tutup mulut saya, seorang lagi letak pisau kat leher saya dan cuba mengheret saya masuk ke dalam van putih. Saya nak jerit dan nak lepaskan diri tapi tidak boleh, mereka kuat sangat,” katanya.
Katanya, walaupun tahu tidak mampu, dia tetap melawan dan cuba melepaskan diri.
"Nasib saya baik, sebab ada dua abang sekolah menengah (pelajar tingkatan empat) lalu jalan itu dan menyergah lelaki tersebut.
"Lepas kena sergah, mereka lepaskan saya dan terus naik van putih yang diletakkan hujung jalan," katanya.
Man berkata, anaknya terpaksa berjalan seorang diri pulang ke rumah kerana abangnya yang berusia 12 tahun kurang sihat dan tidak dapat menemaninya ke sekolah.
“Pada kebiasaannya, dia akan ditemani abangnya pergi dan balik dari sekolah kerana abangnya turut bersekolah di sekolah yang sama. Tetapi pada hari kejadian, abangnya tidak sihat.
"Ketika kejadian, anak saya baru sahaja selesai sekolah pada sesi pagi dan dalam perjalanan pulang ke rumah nenek saudaranya untuk bersiap sebelum hadir ke kelas agama petang,” katanya.
Katanya lagi, selepas kejadian tersebut, anaknya mengalami trauma yang agak teruk dan dia terpaksa menghantar dan menemaninya ketika pergi dan pulang dari sekolah setiap hari.
"Saya bersyukur kerana anak saya terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Saya tidak pasti nasib anak saya jika diculik kumpulan penjenayah tersebut," katanya.
Sumber: Sinar Online
0 comments:
Post a Comment