1. Apakah itu Seksyen 114 A?
Seksyen 114 A, “Andaian Fakta
dalam Penerbitan”, merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan
1950. Pindaan tersebut yang diluluskan Dewan Rakyat tanpa didebatkan
terlebih dahulu pada 18 April 2012 dan melalui Dewan Negara pada 9 Mei
2012. Pindaan ini telah diwartakan dan mula berkuatkuasa mulai 31 Julai
2012.
Seksyen 114 A, yang boleh diguna
pakai dalam kes jenayah dan juga sivil, mengandaikan bahawa pemilik,
pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web,
atau pemilik komputer atau peralatan mudah alih dianggap
bertanggungjawab menyiarkan atau mengulangsiarkan isi kandungan yang
terdapat pada rangkaian, laman web atau peralatan terbabit.
2. Apakah tujuan asal pindaan ini diperkenalkan?
Tujuan asal pindaan ini adalah
untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab ke atas penyiaran
dan penyebaran bahan berunsur hasutan di internet.
Bagi pihak berkuasa, proses
menjejaki dan mengenal pasti individu yang terlibat dalam penyiaran atau
penyebaran bahan berunsur hasutan di internet merupakan sesuatu yang
sukar. Individu tersebut dengan mudah mengambil kesempatan
menyembunyikan identiti mereka di internet kerana kesukaran pihak
berkuasa mengawal internet yang luas dan terbuka. Penyembunyian identiti
juga menggalakkan rakyat menyatakan pendapat tanpa rasa takut kepada
mana-mana pihak. Selain itu, oleh sebab maklumat mudah berpindah dari
satu pihak ke pihak yang lain, pihak berkuasa mengalami kesukaran untuk
mengesan individu asal yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat
tersebut.
3. Apakah kekurangan yang ada pada Seksyen 114A?
Pindaan ini jelas mengandaikan
kesalahan terletak pada individu yang identitinya diguna pakai dalam
penyiaran atau penyebaran maklumat berbentuk hasutan tanpa mengambil
kira faktor seperti kecurian identiti dan penggodaman komputer.
Kesalahan juga terletak pada pihak yang menyediakan ruangan komen pada
blog, forum dan pengendali laman web walaupun maklumat tersebut
disiarkan oleh pihak lain.
Pelaksanaan pindaan baru ini
boleh mengakibatkan pihak yang tidak terlibat menjadi mangsa. Pindaan
ini juga bercanggah dengan prinsip asas keadilan yang menyatakan
seseorang tidak bersalah selagi kesalahannya tidak dibuktikan.
Selain itu, undang-undang yang
diperkenalkan ini tidak akan dapat memerangi jenayah siber dengan
berkesan kerana pindaan ini secara tidak langsung melindungi penjenayah
siber dengan meletakkan kesalahan ke atas mangsa mereka yang komputer
atau akaun Facebook dan Twitternya digodam.
4. Apakah implikasi pindaan ini terhadap individu?
Pelaksanaan Seksyen 114 A
mempunyai kesan yang luas terhadap setiap pengguna internet yang
meliputi pelbagai platform seperti emel dan media sosial. Pindaan ini
awal-awal lagi telah meletakkan kesalahan ke atas individu yang memiliki
laman web atau peralatan yang mana kenyataan atau isi kandungan
berunsur hasutan tersiar. Di bawah Seksyen 114 A, individu atau
organisasi yang mengendali, menyelia atau menyediakan ruang untuk forum,
blog atau perkhidmatan pengehosan web adalah bertanggungjawab terhadap
segala kandungan yang terdapat dalam perkhidmatan terbabit. Mereka juga
bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan oleh pihak lain
yang menyamar menggunakan identiti mereka di internet. Hasilnya, Seksyen
ini mengancam kebebasan bersuara di internet, serta mengancam prinsip
asas keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia.
5. Apakah implikasi pindaan ini terhadap ekonomi negara?
Pada tahun 2010, sektor internet
menyumbang 4.1% (30 billion) kepada KDNK Malaysia – angka yang lebih
tinggi daripada kebanyakan negara maju yang mana sektor internetnya
menyumbang kira-kira 3.4% KDNK mereka[1].
Ekonomi berasaskan internet di negara ini bercambah dengan pesat hasil
daripada kebebasan berinternet yang dinikmati para pengguna perkhidmatan
tersebut. Kejayaan perniagaan-perniagaan internet juga berkait rapat
dengan kebolehan pengguna-pengguna internet mencipta, mencari serta
berkongsi maklumat.
Populariti rangkaian laman sosial
juga mendorong perniagaan-perniagaan untuk membangunkan strategi
pemasaran yang berinovatif serta mampu menjana kemajuan ekonomi.
Facebook dan Twitter juga membantu perniagaan mempromosikan produk
mereka. Selain itu peniaga juga dapat meningkatkan mutu produk hasil
daripada maklum balas pembeli melalui laman sosial tersebut. Oleh itu,
kemajuan ekonomi berasaskan internet bergangtung kepada inisiatif yang
mampu menggalakkan penggunaan internet dan bukannya langkah yang
membantutkan.
Seksyen 114 A menghalang
penggunaan dan penghasilan maklumat di internet. Oleh sebab pindaan
tersebut meletakkan beban membuktikan kesalahan di bahu pemilik sesebuah
laman web atau peralatan, penghasilan dan perkongsian maklumat di
internet akan terbantut akibat ketakutan dan risiko didakwa. Hasilnya,
pindaan yang baru ini akan menjejaskan perniagaan-perniagaan kecil
mahupun besar yang bergantung pada penglibatan pengguna-pengguna
internet.
6. Mengapa kebebasan bersuara di internet perlu dipertahankan?
Perkongsian maklumat yang bebas
dan terbuka merupakan asas bagi sebuah sistem demokrasi yang kukuh. Hal
ini memastikan rakyat sentiasa dibekalkan dengan maklumat yang tepat
supaya mereka dapat memainkan peranan yang aktif dalam proses demokrasi
di negara ini. Internet yang mampu mempercepatkan proses penyampaian
maklumat berkemampuan untuk melancarkan proses demokrasi. Justeru,
rakyat perlu menggunakan hak bersuara mereka tidak kira dalam apa jua
bentuk termasuk di internet. Suara rakyat perlu didengar. Oleh itu, jika
Seksyen 114 A yang baru ini dilaksanakan, prinsip demokrasi serta
kebebasan bersuara rakyat akan terjejas teruk.
7. Pihak mana yang menentang Seksyen 114A?
Pada 31 Mei 2012, Pusat
Kewartawanan Bebas (CIJ) melancarkan satu e-petisyen untuk mendapatkan
sokongan kepada kempen untuk menghentikan pindaan ini daripada
diwartakan. Dalam masa sebulan, lebih daripada 3300 individu
menandatangani petisyen tersebut untuk menyatakan tentangan mereka
terhadap pindaan tersebut. Dalam kalangan mereka yang berbuat demikian
termasuklah Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, pengarah filem terkenal
Pete Teo, penulis and personaliti radio Patrick Teoh, aktivis sosial
Marina Mahathir dan Dr. Irene Fernandez, dan ahli akademik ternama
seperti Dr. Azmi Sharom dan Dr. Mustafa K. Anuar.
Selain itu, ahli-ahli parlimen
dari Barisan Nasional turut menyatakan ketidaksenangan mereka dengan
pindaan tersebut. Khairy Jamaluddin menyifatkan bahawa beban membuktikan
kesalahan perlu sentiasa terletak pada pihak pendakwa[2]. Datuk Saifuddin Abdullah pula berpendapat bahawa pindaan tersebut perlu ditarik semula[3].
Pada 28 Jun 2012, Pakatan Rakyat
mengeluarkan kenyataan untuk menyarankan pihak kerajaan menarik semula
Seksyen 114A tersebut. Kenyataan terbabit ditandatangani oleh Ahli
Parlimen Subang R Sivarasa, Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan, dan
Ahli Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad[4].
[1] Joseph
Chin, “McKinsey, Google: Internet contributed RM30 bn of Malaysia’s GDP
in 2010”, The Edge Malaysia, 01 February 2012, online at:
http://www.theedgemalaysia.com/index.php?option=com_content&task=view&id=200283&Itemid=88
[2] Leven
Woon, “Youth chief wants Evidence Act changes revoked”, Malaysiakini,
16 June 2012, online at: http://www.malaysiakini.com/news/201025
3 “Saifuddin: Move should be revoked”, The Malay Mail, 4 July 2012, print.
4 Teoh El Sen, “Pakatan seeks to
halt new Evidence Act”, Free Malaysia Today, 28 June 2012, online at:
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/06/28/pakatan-seeks-to-halt-new-evidence-act/
Source http://stop114a.wordpress.com/
Source http://stop114a.wordpress.com/
0 comments:
Post a Comment