PETALING JAYA – Pelakon Hanez Suraya mengakui agak sukar untuk dia memuaskan hati peminat-peminatnya di laman sosial yang tidak memahami kedudukannya sebagai seorang selebriti.
Hanez, 28, berkata, dia mengambil pendekatan tidak membesarkan perkara remeh khususnya bahasa yang kurang enak dilemparkan peminat sehingga boleh menimbulkan perbalahan.
“Saya memang suka melayan mesej Twitter daripada peminat dan membalas komen mereka, tapi ada masanya saya tidak dapat menjawab kesemuanya.
“Terdapat segelintir peminat yang tidak faham dengan kesibukan saya dan mula menghantar mesej yang bukan-bukan serta melemparkan kata-kata kesat,” katanya kepada mStar Online.
Hanez diminta mengulas perbalahannya dengan peminat di laman sosial itu apabila ada di antara mereka melemparkan kata-kata yang tidak sopan kepadanya baru-baru ini.
Tambah Hanez, dia sedar banyak akaun Twitter telah diwujudkan atas namanya untuk menarik perhatian dan menimbulkan provokasi.
“Saya tidak tahu kenapa mereka berbuat demikian kepada saya. Saya lihat ada 10 akaun yang dibuat untuk membenci saya dengan mesej yang bukan-bukan,” katanya.
Bagaimanapun, Hanez berkata dia tidak melenting dan mengambil serius perkara tersebut.
“Saya tahu mereka hanya ingin perhatian sahaja, Insya-Allah kalau mereka komen denga cara yang baik, saya akan balas juga tidak perlu sehingga panggil saya dengan perkataan yang bukan-bukan,” katanya.
Sementara itu, Hanez mengakui namanya meningkat seiring dengan kontroversi yang melandanya.
“Saya akui kontroversi ini kadang-kadang boleh mengangkat nama kita tetapi kadang kala boleh juga menjatuhkan.
“Bagi saya jika saya boleh tepis, saya akan tepis. Kalau dulu ketika bersama Awi Rafael saya mengambil berat banyak perkara agar setiap apa yang saya lakukan tidak terkena tempias kepada Awi,” katanya. – mStar Online
0 comments:
Post a Comment