KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kemerdekaan yang bakal menjelang perlu menjadi usaha ke arah penyatuan pelbagai bangsa untuk matlamat sama demi memperkukuhkan asas sebuah negara Malaysia yang bersatu padu.
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata sambutan Hari Kemerdekaan juga perlu digunakan semua rakyat Malaysia untuk meniup semangat patriotik.
Selain itu, ia juga bagi menguatkan tekad dalam menghadapi apa jua kemungkinan demi mempertahankan kedaulatan negara serta mencegah kejadian seperti pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
“Insiden Lahad Datu pada awal tahun ini, jelas menunjukkan apa yang boleh berlaku kepada negara kita jika tiada semangat patrotisme terutamanya dalam kalangan anggota keselamatan yang diamanah mempertahankan kedaulatan dan wilayah integriti.
Justeru, adalah wajar untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira fahaman politik…memberi tumpuan kepada aktiviti yang akan membantu menyatukan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), badan sukarela, belia dan pertubuhan agama juga boleh membantu menganjurkan pelbagai acara ke arah membina perpaduan.
Bagaimanapun, Lee berkata penganjuran aktiviti perpaduan tidak hanya dilakukan semasa sambutan Hari Merdeka, malah perlu diteruskan sepanjang masa.
Beliau juga berkata prinsip dalam Rukun Negara telah menyatukan semua rakyat Malaysia dan menjadi panduan pembinaan negara ini.
“Ia perlu dihormati oleh semua dan berkongsi wawasan demi perpaduan negara.
Prinsip ini perlu sentiasa dipelihara dan diamalkan semua kerajaan yang memimpin,” katanya.
Lee juga berkata bahawa usaha mewujudkan perpaduan haruslah diberi keutamaan terpenting dalam memastikan Malaysia terus membangun sebagai sebuah negara yang selamat, aman, progresif dan bersatu padu. – BERNAMA

0 comments:
Post a Comment