SAYA berusia 28 tahun dan akan mendirikan rumah tangga pada pertengahan tahun ini. Saya bekerja sebagai jururawat.
Saya dapati alat sulit saya kelihatan berbeza daripada wanita lain apabila labia minora kelihatan sangat lebar. Saya bertanyakan kepada ibu sama ada saya disunatkan semasa dilahirkan, namun ibu saya tidak ingat, cuma katanya kemungkinan ada.
Apabila bertanyakan pada ayah pula, dia memberitahu perempuan tidak wajib bersunat jadi kemungkinan saya tidak disunatkan.
Saya jadi takut dan agak tertekan sekiranya bakal suami tidak dapat menerima keadaan saya ini. Saya pernah terdengar perbualan orang tua bahawa lelaki tidak sukakan perempuan yang tidak bersunat.
Ini menambah tekanan pada saya. Pada usia ini, bolehkah saya melakukan prosedur bersunat? Jika ada, di manakah tempatnya? Saya berasa cukup malu dan harap doktor dapat memberi pandangan.
Lis,
Selangor.
JAWAPAN
Saiz labia minora ada sedikit berbeza antara wanita, malah saiz atau panjang labia minora kanan juga mungkin sedikit berbeza daripada labia minora kiri.
Bersunat bagi perempuan juga berbeza mengikut amalan masyarakat. Kini, amalan bersunat di Malaysia lebih kepada ‘cukup syarat’ contohnya dengan hanya menyentuh gunting atau pisau pada bahagian kemaluan bayi atau kanak-kanak perempuan, bukannya seperti dulu dengan memotong lebih banyak bahagian atas sudut pertemuan labia minora.
Apa yang lebih penting adalah menjaga kebersihan kemaluan, sama ada sudah bersunat ataupun belum. Kotoran atau daki lebih mudah berkumpul di celah atau bawah sudut terbabit pada wanita yang tidak bersunat, tetapi ini tidak bermakna wanita yang sudah bersunat bebas daripada kotoran berkenaan.
Sebagai jururawat yang ada mempelajari bahagian kemaluan wanita, anda pasti lebih berpengetahuan dalam menjaga kebersihan bahagian terbabit.
Labia minora memainkan peranan dalam membantu ‘menutup’ bahagian bukaan salur kencing dan bukaan faraj. Labia minora yang lebih lebar sepatutnya lebih melindungi bahagian ini daripada jangkitan kuman. – Harian Metro
Dr. Adilah Ahmat
Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan Dan Rawatan Kesuburan/IVF, Hospital Pantai Bangsar Dan Hospital Pusrawi Jalan Tun Razak Kuala Lumpur.
0 comments:
Post a Comment