KUCHING – Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof tidak menolak kemungkinan kecuaian pekerja punca kebakaran di bangunan kajian klinikal Hospital Umum Sarawak yang meragut nyawa seorang lelaki semalam.
Sambil meluahkan rasa kesal dengan kejadian 5 petang itu, Fadillah berkata bagaimanapun punca sebenar kebakaran bangunan yang dalam pembinaan tersebut masih dalam siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak.
Pekerja yang terbabit dalam pembinaan ini mungkin gagal patuhi prosedur operasi standard keselamatan pekerjaan, katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian hari ini.
Dalam kejadian itu, pekerja binaan dikenali sebagai Teguh Prayttono, 35, dari Indonesia maut dipercayai akibat sesak nafas terhidu asap tebal.
Lelaki itu dikatakan bekerja di bahagian siling auditorium bangunan ketika kejadian manakala tiga lagi rakan sekerjanya yang melakukan kerja kimpalan di lokasi sama berjaya menyelamatkan diri.
Fadillah berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku penyelia projek bernilai RM35 juta itu turut menubuhkan pasukan penyiasat bagi menilai kerugian.
“Seterusnya (pasukan penyiasat JKR ini) akan membuat laporan penuh kepada JKR Malaysia untuk tindakan selanjutnya memandangkan projek ini masih lagi dalam lingkungan liputan insurans untuk membuat tuntutan kerugian dan membayar pampasan kepada pekerja yang tercedera atau meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata kerja pembinaan yang dijadual siap pada penghujung Mac ini juga dihentikan sementara menunggu selesai siasatan. – BERNAMA

0 comments:
Post a Comment