SAUDARA mara empat beradik, anak kepada pasangan yang ditahan di Sweden sebelum ini hampir putus asa dalam usaha membawa baik keempat-empat mereka.
Bapa saudara mereka Badrul Hisham Makhzan, 55, berkata beliau berlepas ke Sweden pada 31 Disember lepas dalam percubaan untuk bertemu dengan kedua-dua ibu bapa mereka.
Percubaan bertemu pasangan itu gagal kerana peraturan ketat negara berkenaan dan juga kebimbangan ia akan mengganggu siasatan yang dijalankan.
Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Norshal ditahan pihak berkuasa Sweden kerana disyaki memukul anak mereka.
Pasangan itu memukul tangan anak lelaki mereka kerana enggan menunaikan solat tetapi di Sweden memukul anak secara fizikal dianggap salah dan melanggar peraturan negara itu.
“Saya kemudian pergi ke Kedutaan Malaysia di Sweden sebelum seorang pegawai di sana menjelaskan kepada saya berkenaan proses undang-undang dan meminta saya untuk bersabar, saya juga menghubungi Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin untuk memohon bantuan.
“Selepas kunjungan itu, saya hampir berputus asa dan kecewa kerana tiadanya perhubungan antara keluarga sana dan Wisma Putra,” kata ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Wakaf Tok Bali, Peringat hari ini.
Bagaimanapun, Badrul berkata harapannya kembali bercahaya apabila dihubungi semula Hamzah Jumaat lepas, mengatakan anak saudaranya akan dibawa pulang ke Malaysia pada Sabtu.
“Saya menerima panggilan darik Datuk Hamzah pada Jumaat pagi dan meminta saya supaya buat persediaan, kerana beliau sedang membawa pulang anak saudara saya.
“Datuk Hamzah dan Wisma Putra telah menggunakan saluran diplomatik untuk memastikan hubungan di antara kedua-dua negara Sweden dan Malaysia kekal baik,” katanya.
Beliau yakin, usaha yang sama akan digunakan untuk membebaskan Azizul Raheem dan Shalwati seterusnya membawa mereka balik semula ke Malaysia.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Hamzah dan semua rakyat Malaysia yang membantu dan berdoa untuk keluarga kami.
“Kejayaan ini adalah hasil dari usaha bersama rakyat Malaysia yang bersatu untuk membawa empat adik-beradik ini balik ke Malaysia,” katanya.
Badrul Hisham berkata kini beliau sedang mendapatkan bantuan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan untuk meletakkan empat anak Azizul Raheem di Seklah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kala dan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala, Peringat.
“Saya menghormati keinginan ibu mereka yang mahukan mereka bersekolah di sekolah kebangsaan, berbanding sekolah antarabangsa.
“Mereka cuma mempunyai sedikit masalah dari segi bahasa kerana tidak fasih berbahasa Melayu dan juga tidak memahami bahasa dialek Kelantan.
“Aishah anak sulung, mula mengikuti ibu dan ayahnya di luar negara sejak berumur empat tahun, ketika itu mengikut ibu bapanya ke Afrika Selatan,” katanya.
Kesemua mereka Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.04 pagi semalam dengan penerbangan Malaysia Airlines dari Stockholm, Sweden. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment