MELAKA – Melaka menyasar pelaburan berjumlah RM5.5 bilion dalam sektor perindustrian meliputi pelaburan asing dan tempatan pada tahun ini.
Ketua Menterinya Datuk Seri Idris Haron berkata sasaran itu dijangka mampu dicapai berikutan pencapaian memberangsangkan sektor industri negeri yang memperoleh nilai pelaburan sebanyak RM3.019 bilion tahun lepas berbanding RM1.052 bilion pada 2012.
“Sektor perindustrian dan pembuatan merupakan sektor utama yang menjadi tulang belakang ekonomi Melaka dan sumbangan besar kedua-dua sektor ini pada tahun lepas membuktikan Melaka amat bergantung kepada aktiviti pelaburan sama ada pelaburan langsung asing mahupun pelaburan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan penjawat awam di Seri Negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata sepanjang tempoh 13 tahun lepas bermula tahun 2000 sektor tersebut mencatatkan pelaburan berjumlah RM31 bilion.
Katanya pada tahun lepas, Melaka berada di tempat keenam dari segi nilai pelaburan selepas Johor, Selangor, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang.
Idris berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) yang diberi tanggungjawab untuk membangunkan kawasan perindustrian negeri itu sehingga kini telah memajukan kawasan seluas 1,720 hektar sebagai kawasan perindustrian.
Beliau berkata PKNM sedang memajukan beberapa kawasan perindustrian baru iaitu kawasan perindustrian Lipat Kajang di Jasin; kawasan perindustrian Bio Central dan Projek Inland Port masing-masing di Taboh Naning serta Projek Fasa 3 Melaka World Solar Valley di Rembia. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment