Abdul Hadi sewaktu memberi ucapan kepada lebih 2,000 hadirin. |
PARIT BUNTAR - Pas perlu terus istiqamah dalam perjuangannya sebelum bekerjasama dan berbincang dengan parti lain bagi menghadapi cabaran politik masa depan.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, istiqamah itu penting memandangkan Pas bukan hendak merebut jawatan dan bukan kerana ketokohan seseorang individu, tetapi untuk menegakkan keadilan dan dasar perjuangan parti.
“Kita menerima tahaluf siyaasi dengan persetujuan Majlis Syura Ulama dan Muktamar Pas, kerana itu ia adalah jihad untuk melaksanakan cita-cita perjuangan yang kita sepakati,” katanya ketika merasmikan Sambutan 60 Tahun Pas kawasan Parit Buntar, di Dataran Purnama, kelmarin.
Turut hadir Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain dan Yang Dipertua Pas kawasan Parit Buntar, Harun Hashim.
Abdul Hadi berkata, penyertaan Pas dalam tahaluf siyaasi tidak pernah rugi, malah banyak menguntungkan Islam.
“Jika Pas banyak memenangi kerusi dalam PRU akan datang baik di peringkat Parlimen atau Dun, insya-ALLAH, Pas akan dapat menggantikan Umno,
"Dalam perjuangan ini, kita hendaklah melakukannya dengan sungguh-sunguh, istiqamah, bertawakal dan berserah kepada ALLAH menentukannya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berharap Pas kawasan Parit Buntar seharusnya dijadikan contoh pelaksana istiqamah dalam perjuangan dan pada masa sama mampu menjalinkan hubungan
baik dengan parti-parti lain di dalam PR.
“Justeru, saya berharap kesemua Pas kawasan dapat meningkatkan kerjasama dengan parti-parti di bawah Pakatan Rakyat dan yakin kerjasama dijalinkan akan menguntungkan Islam dan parti itu sendiri,” katanya.
0 comments:
Post a Comment