KUALA LUMPUR – AirAsia membuat keputusan untuk melanjutkan pembatalan penerbangan ke/dari Pekanbaru, Indonesia sehingga 19 Mac ini berikutan penglihatan terhad disebabkan jerebu tebal yang masih berlaku di kawasan tersebut.
AirAsia dalam satu kenyataan media memberitahu, keadaan jerebu yang tebal menghadkan jarak penglihatan juruterbang kepada kurang 1,000 meter yang merupakan jarak penglihatan minima penerbangan bagi memastikan operasi yang selamat.
“Penerbangan AirAsia dari/ke Pekanbaru yang dibatalkan adalah Kuala Lumpur–Pekanbaru, Pekanbaru–Kuala Lumpur, Pekanbaru–Bandung, Bandung–Pekanbaru, Pekanbaru–Medan dan Medan–Pekanbaru. Kesemua penerbangan terlibat dijangka meneruskan operasi pada 20 Mac 2014 bergantung kepada tahap peningkatan jarak penglihatan pada waktu itu,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, AirAsia menawarkan pilihan kesinambungan perkhidmatan kepada penumpang yang terjejas iaitu perubahan tarikh penerbangan iaitu dalam lingkungan tujuh (7) hari dari jadual asal tanpa caj tambahan.
Pilihan lain adalah deposit dalam bentuk ‘Credit shell’ iaitu bersamaan dengan nilai tempahan asal dan boleh digunakan sebagai bayaran untuk menempah mana-mana penerbangan AirAsia. ‘Credit shell’ sah untuk 3 bulan dari tarikh dikeluarkan.
Menurut kenyataan itu, semua penumpang terlibat akan diberitahu melalui emel yang didaftarkan dengan AirAsia dan juga khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai pembatalan penerbangan tersebut.
“AirAsia menggesa penumpang mengemaskini alamat emel dan nombor telefon beserta kod negara di dalam profil ahli AirAsia mereka agar pihak syarikat penerbangan dapat menghubungi mereka untuk memberikan bantuan,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, penumpang yang memerlukan maklumat dan bantuan lanjut diminta menghubungi AirAsia melalui Pusat Panggilan AirAsia Indonesia di +62 21 2927 0999, melayari laman web www.airasia.com/ask, menggunakan E-borang di http://www.airasia.com/my/en/e-form.page atau Live Chat.
“AirAsia akan terus memantau situasi dan akan memaklumkan segala perkembangan menerusi qwww.twitter.com/AirAsia dan www.facebook.com/AirAsia,” kata kenyataan itu. ‘
0 comments:
Post a Comment