Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, March 6, 2014

No Comment

SEPANG – “Kejayaan saya mendaki tujuh gunung tertinggi di tujuh benua diharapkan akan memberi semangat, motivasi dan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengharumkan nama di peringkat antarabangsa,” kata pendaki negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, Rabu.

Muqharabbin atau lebih dikenali dengan panggilan Qobin, 32, berkata beliau merasa bangga dan berpuas hati dengan kejayaan yang dikecapi selepas mendaki gunung yang terakhir, Gunung Carstensz Pyramid setinggi 4,884 meter di Irian Jaya, Indonesia, baru-baru ini.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana telah memberi saya inspirasi dan kata-kata semangat dalam menjayakan misi ‘menakluki’ tujuh gunung tertinggi di seluruh dunia.

“Tidak lupa juga kepada semua pihak yang memberi bantuan kewangan dan menjadi penaja kepada saya sejak tahun 2004 hingga sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba dari Jakarta, di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) di sini malam Rabu.

Turut menyambut beliau ialah ayahnya Mokhtarrudin Ismail.

Ahad lepas, Qobin, berjaya sampai ke puncak Carstensz Pyramid selepas mengharungi pendakian selama tujuh jam dari kem permulaan.

Cubaan mendaki gunung terbabit adalah kali ketiga dilakukannya selepas gagal menawan puncak itu pada Ogos 2011 dan Mac 2012.

Misi menakluk tujuh puncak itu bermula dengan kejayaannya menjejakkan kaki di Gunung Everest pada 2004; Gunung Kilimanjaro, Tanzania di Afrika (2010); Gunung Vinson Massif di Antartika (2011); Gunung Mckinley Amerika di Amerika Utara (2011); Gunung Kosciousko, Australia (2011); Gunung Elbrus, Rusia di Benua Eropah (2012); dan terakhir di Gunung Carstensz.

Qobin yang juga Presiden Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B)berkata beliau kini akan menumpukan perhatian untuk cabaran lasak meluncur ski sejauh 530 kilometer di Greenland yang akan berlangsung tahun ini.

Tarikhnya akan ditetapkan kemudian, kata beliau.

Cabaran Greenland anjuran KE7B itu dijadualkan bermula dari April hingga Mei depan dan peserta akan berdepan cuaca yang ekstrem meluncur ski dari Ammassalik yang terletak di timur Greenland ke Sondre Stromfjord, di bahagian barat.

Sehingga kini, belum ada seorang pun anak Malaysia yang melintasi Greenland sama ada secara individu atau berpasukan, kata Qobin. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment