Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, March 6, 2014

No Comment

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan memantau semua aktiviti pasar malam dengan lebih kerap agar peniaga lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kebersihan makanan yang dijual.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Terengganu, Muhammad Pehimi Yusof berkata pemantauan perlu dilakukan secara berterusan tanpa perlu menunggu kes membabitkan kesihatan awam, seperti keracunan makanan yang berlaku minggu lalu.

“Pemantauan ini secara tidak langsung akan meningkatkan semula keyakinan orang ramai terhadap keselamatan makanan yang dijual di pasar malam.

“Ini kerana, ramai peniaga yang saya temui mengadu jualan mereka jatuh merudum kerana kes keracunan makanan itu yang menyebabkan orang ramai bimbang untuk membeli makanan di pasar malam,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di pasar malam Kuala Ibai dekat sini malam tadi.

Sebanyak 24 notis kesalahan dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terhadap peniaga termasuk kesalahan tidak mempamerkan kad kesihatan, lesen perniagaan tamat tempoh, tidak memakai apron dan penutup kepala serta kebersihan yang kurang memuaskan.

Operasi itu diadakan serentak di empat pasar malam daripada 22 lokasi yang ada, bertujuan memberi pendidikan kesihatan dan pengendalian makanan kepada peniaga serta mengedarkan risalah panduan kebersihan makanan kepada orang ramai.

Isnin lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilme meninggal dunia akibat keracunan makanan setelah menikmati ayam goreng yang dibeli dari pasar malam.

Jabatan Kesihatan mengesahkan kematiannya berpunca akibat bakteria Salmonella.

Sebanyak 141 turut keracunan disahkan setelah memakan selain ayam goreng, nasi goreng, kuetiau  goreng dan mi goreng dari dua pasar malam.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata mereka dirujuk di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan 35 orang menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Sebanyak 106 pesakit ditahan wad dan 85 daripadanya masih menerima rawatan lanjut di wad HSNZ,” katanya.

Sementara itu hasil tinjauan Bernama mendapati aktiviti perniagaan pasar malam di sini sedikit suram berikutan kebimbangan orang ramai mengenai kes keracunan makanan itu.

Kebanyakan peniaga yang ditemui mengakui jualan mereka merudum sehingga 50 peratus dan mereka berharap situasi itu segera pulih kerana mereka hanya bergantung pendapatan pasar malam.

Peniaga ayam goreng, Mohd Asmadi Mohd Ghani, 35, berkata kebiasaannya beliau boleh mencatat jualan antara RM1,500 hingga RM2,000 setiap hari hasil jualan 100 kilogram ayam.

“Namun, sejak kes keracunan makanan itu Isnin lalu, jualan memang merosot kerana di pasar malam Chendering pada Selasa lalu, saya hanya mendapat jualan RM700 sahaja.

“Malam ini pun, jualan agak kurang kerana biasanya, saya tak berhenti menggoreng ayam namun sekarang hendak menjual yang sedia digoreng pun agak susah…tak rancak seperti sebelum ini,” katanya yang sudah berniaga pasar malam sejak tiga tahun lalu.

Peniaga kuih muih tradisional di pasar malam Kuala Ibai, Ahmad Razif Ghazali, 34, turut menerima tempias akibat kes keracunan makanan itu.

“Mungkin seminggu dua ini, orang ramai masih fobia untuk ke pasar malam…tapi saya berharap semua ini segera pulih kerana tak semua peniaga pasar malam mengabaikan kebersihan.

“Biasanya, kalau makanan tak habis, saya akan sedekahkan sahaja kepada peniaga-peniaga lain sebab tak mahu membazir dan saya tidak akan menjualnya semula keesokan hari kerana bimbang keselamatan pembeli,” katanya yang menjual tapai, laksa, mi rojak dan karipap.

Bagi Zulkaedah Alias, 44, pula jualan nasi goreng, maggi goreng, mihun goreng dan mi gorengnya masih laris seperti biasa kerana beliau sudah mempunyai pelanggan tetap.

“Menu yang saya jual inilah yang dikaitkan dengan kes keracunan makanan itu.

“Mungkin sudah biasa, jadi mereka tidak meragui kebersihan makanan yang dijual dan saya sendiri pun memang mengutamakan kebersihan,” katanya yang sudah berniaga selama 14 tahun dengan dibantu dua orang anaknya dan purata hasil jualannya RM500 sehari. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment