Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, March 6, 2014

No Comment

PUTRAJAYA – Kerajaan Selangor melalui anak syarikat miliknya yang akan menentukan keperluan semakan tarif air serta kuantumnya kepada pengguna berikutan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) penstrukturan semula industri air Selangor.

Merujuk kepada beberapa kenyataan yang dibuat berhubung MoU antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor itu dengan dakwaan tarif air bagi Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya perlu dinaikkan berikutan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) dan sistem agihannya, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata kerajaan Selangor melalui anak syarikat miliknya yang akan menetapkan keperluan bagi sebarang semakan tarif air.

Kementerian itu dalam satu kenyataannya Khamis menjelaskan dua perkara utama yang digariskan dalam MoU itu iaitu pengambilalihan syarikat konsesi air Selangor oleh kerajaan Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Bhd dan pemberian kelulusan untuk membolehkan LRAL2 dimulakan segera.

Melalui MoU itu, Kerajaan Persekutuan menyatakan kesediaan membantu Kerajaan Selangor mendapatkan dana untuk mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air Selangor.

Empat syarikat konsesi itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash), dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (Abbas).

Sebagai balasan, Kerajaan Selangor menyerahkan kebenaran merancang untuk membolehkan pelaksanaan LRAL2 dimulakan serta-merta.

Kerajaan Selangor juga menyatakan komitmen untuk memberikan kelulusan yang diperlukan supaya air mentah dari Pahang disalurkan untuk menampung keperluan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kementerian itu juga menjelaskan dengan termeterainya MoU itu, kerajaan Selangor akan mengambil alih syarikat-syarikat konsesi itu dan menggabungkan operasinya di bawah satu anak syarikat milik kerajaan negeri.

Syarikat itu akan menjadi operator air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kementerian itu menjelaskan sebagai operator air, adalah menjadi tanggungjawab syarikat itu menyediakan pelan perniagaan yang perlu dikemukakan untuk kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) termasuk mencadangkan sebarang semakan tarif bagi memastikan kemampanan syarikat itu.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui anak syarikat miliknya yang akan menentukan keperluan semakan tarif air berserta kuantum kenaikan tarif yang akan dikenakan kepada para pengguna dengan mengambil kira pelan perniagaan bagi mengoperasikan pembekalan air bagi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment