JOHOR BAHRU – Timbalan Setiausaha Agung PKR Steven Choong dan tiga individu lain dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua tuduhan menyertai perhimpunan di tempat larangan dan gagal memaklumkan kepada polis sebelum perhimpunan diadakan, tahun lepas.
Hakim Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati tuduhan terhadap mereka tidak berasas kerana dibawa ke mahkamah tidak mengikut prosedur Kanun Tatacara Jenayah.
“Tiada tangkapan atau saman dikeluarkan oleh pihak pendakwaan terhadap keempat-empat tertuduh. Atas bantahan pembelaan dan selepas menimbangkan hujahan kedua-dua belah pihak, saya dapati tuduhan berkenaan adalah cacat dan tidak berasas,” katanya.
Choong, 57; Koh Jit Huat, 53; Mohd Salleh Ahmad,62; dan Thomas Fann, 53; dituduh bersama-sama menyertai perhimpunan di tempat larangan iaitu di stesen minyak di Jalan Tun Abdul Razak, di sini, pukul 9 malam, 21 Mei, 2013.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2) (b) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
Mereka juga didakwa gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan sepuluh hari sebelum perhimpunan itu diadakan di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 9 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum denda yang sama, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu dan dalam rayuan mengetepikan tuduhan, kesemua peguam tertuduh mengemukakan bantahan berhubung cara tertuduh didakwa di mahkamah.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Hassan Karim, Jimmy Puah, Loh Wei Cher dan John Fernandez. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment