KUALA LUMPUR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan kerajaan memperluas kawasan penanaman padi kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) bagi memperkasa pengeluaran makanan negara.
Titah baginda ini juga bagi menangani masalah pengeluaran padi yang tidak memuaskan di luar Mada disebabkan infrastrukturnya tidak lengkap.
Dengan perluasan kawasan kendalian Mada, secara tidak langsung membesarkan saiz jelapang padi Perlis dan meningkatkan pengeluaran padi kerana lebih banyak infrastruktur disediakan di kawasan berkenaan, titah baginda.
Menurut kenyataan media Yayasan Tuanku Syed Putra di sini hari ini, baginda bertitah demikian selepas mendengar taklimat pencapaian program Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jabatan Pertanian Terengganu di Kampung Tok Dor, Besut, Terengganu semalam.
Tuanku Faizuddin bertitah pada masa ini Perlis mempunyai kawasan penanaman padi seluas 27,135 hektar dan daripada jumlah itu 16,138 hektar ialah kawasan Mada dengan aktiviti penanaman dua kali setahun.
Seluas 11,177 hektar lagi terletak di lembah utara Perlis dan berada di luar kawasan kendalian Mada dengan infrastruktur pertanian yang terbatas, titah baginda.
Raja Muda Perlis turut berharap kerajaan mempertimbang untuk mewujudkan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di Perlis yang dilihat mampu meningkatakn kegiatan pertanian di luar kawasan Mada.
Terdahulu, baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mendengar taklimat oleh Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Utara (Ketara) Mohd Kaberi Ghani dan pegawai Pusat Latihan Pembangunan dan Pengembangan (PLPP) Wilayah Timur Jabatan Pertanian Terengganu, Amran Mohamad Nor. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment