MELAKA – Cuaca panas dan kering mengundang peningkatan beban tugas anggota bomba dan penyelamat di negeri ini untuk memadam kebakaran hutan, belukar dan lalang.
“Beberapa bulan ini begitu memenatkan, namun tugas perlu dilaksanakan,” kata Pegawai Kanan Bomba 2 dari Balai Ayer Keroh, Hairulnizam Ridhuan.
Beliau berkata pihaknya menerima antara lima hingga lapan kes kebakaran hutan, belukar dan lalang setiap hari sejak Januari lepas.
Katanya beliau menghabiskan masa antara lapan hingga 10 jam sehari daripada 12 jam waktu bertugasnya di lokasi bagi mengawal kebakaran.
“Operasi mengawal dan memadam kebakaran melibatkan lalang, hutan dan belukar lebih rumit dan memakan masa berbanding kebakaran bangunan, berikutan keadaan tumbuh-tumbuhan yang kering akibat cuaca panas sehingga memudahkan api merebak.
“Misalnya masa yang lama diperlukan untuk memadam kebakaran hutan paya bakau kerana api berada di bawah tanah menyebabkan kita perlu mengawalnya daripada merebak ke kawasan yang lebih luas,” katanya yang telah berkhidmat selama 15 tahun.
Hairulnizam, 37, berkata anggota bomba turut terdedah dengan suhu tinggi selain asap yang banyak walaupun setiap operasi memadam kebakaran dijalankan mengikut prosedur keselamatan.
Keadaan ini menyebabkan kesihatan anggota bomba terjejas dengan mengalami batuk, pedih mata, demam, selesema dan sakit kepala, katanya.
Pemandu jentera yang juga pengendali pam bomba, Yahaya Abd Wahab, 53, berkata bertugas pada musim panas dan kering memerlukan ketelitian yang lebih terutama dalam memastikan bekalan air pada jentera tangki air mencukupi iaitu 1,514 liter.
“Sekarang kekerapan jentera keluar untuk memadam kebakaran tinggi dan sebaik pulang dari lokasi kebakaran, saya perlu pastikan water tanker yang telah kosong diisi semula dengan segera bagi tugas seterusnya,” katanya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Zainuddin Md Alip berkata sebanyak 1,553 kes kebakaran melibatkan kebun, ladang, hutan, belukar dan lalang dilaporkan antara Januari hingga 5 Mac lepas di seluruh Melaka, meningkat sebanyak 430 peratus berbanding 293 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Bomba Melaka menerima purata antara 30 hingga 50 panggilan kebakaran sehari dengan 90 peratus daripadanya melibatkan pembakaran terbuka seperti lalang, belukar, hutan dan kebun,” katanya.
Katanya selain faktor cuaca yang panas dan kering, sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab dengan melakukan pembakaran terbuka menjadi punca peningkatan kes kebakaran. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment