Isu penggunaan kalimah Allah membawa kepada pertembungan dua kumpulan berbeza agama di negara ini. Gambar fail The Malaysian Insider. |
Peguam menggesa Mahkamah Persekutuan memberikan Gereja Katolik kebenaran untuk merayu terhadap larangan Putrajaya terhadap penggunaan kalimah Allah kerana hak beragama kepada bukan Islam disekat oleh kerajaan Barisan Nasional.
Mereka berkata, Mahkamah Persekutuan, sebagai penterjemah tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan, patut membenarkan permohonan untuk merayu yang dikemukakan gereja dan membuat keputusan berhubung isu Allah untuk membuat kesimpulan terhadap kes yang menimbulkan perbalahan itu.
Peguam juga mendesak Mahkamah Persekutuan tidak mengambil jalan sama seperti Mahkamah Tinggi yang pada Isnin lalu enggan mendengar aduan daripada Sidang Injil Borneo (SIB) terhadap Kementerian Dalam Negeri berhubung rampasan buku agama, yang mengandungi perkataan Allah.
Ketika menolak permohonan kebenaran mendapatkan semakan kehakiman SIB, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusof, berkata beliau berpegang kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober yang memutuskan perkataan Allah bukan sebahagian daripada keimanan Kristian.
Peguam berkata, mahkamah apex patut mengambil peluang ini untuk menunjukkan kepimpinan dan peranannya dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain.
Mereka berkata, perdebatan mengenai perkara itu tidak akan berakhir dan kumpulan yang saling bertentangan akan terus berpegang kepada pandangan mereka sama ada Allah adalah hak eksklusif umat Islam di negara ini.
Pada 5 Mac, panel tujuh hakim mendengar permohonan gereja mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tetapi keputusan berkenaan ditangguhkan.
Peguam, Abd Shukor Ahmad, berkata ada kemungkinan berlaku perubahan di Parlimen selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diketahui mengenai kontroversi itu.
“Mahkamah apex perlu membuat keputusan dengan berhati-hati dan melakukannya berdasarkan merit,” kata Shukor dan menambah, peguam gereja sudah memenuhi semua syarat untuk mendapatkan kebenaran.
Beliau berkata, perlembagaan sebagai dokumen hidup dan interpretasi baru, selaras dengan hubungan manusia di Malaysia, amat diperlukan.
“Hakim perlu memberi nafas kehidupan kepada perlembagaan, jika tidak ia akan kekal sebagai surat mati undang-undang,” katanya.
Shukor berkata, beliau faham panel tujuh hakim berkenaan memerlukan masa untuk mengkaji permohonan mendapatkan kebenaran itu tetapi “9 minggu adalah tempoh penangguhan terlalu lama”.
“Mengikut amalan undang-undang mahkamah, hakim diberikan hanya 8 minggu untuk menulis asas penghakiman,” katanya.
Peguam, Syahredzan Johan, berkata Mahkamah Persekutuan patut mendengar rayuan gereja memandangkan ia membabitkan isu lebih besar dalam kepentingan perlembagaan.
“Keputusan Mahkamah Rayuan hanya dalam ruang yang membolehkan Putrajaya menghentikan penerbit Herald daripada menggunakan perkataan Allah tetapi kesannya lebih daripada itu,” katanya.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi mengambil contoh daripada kes terdahulu perkataan itu tidak boleh digunakan dalam mana-mana penerbitan.
Syahredzan berkata, berdasarkan penghakiman Mahkamah Rayuan, penyelesaian 10-perkara yang diwartakan oleh Putrajaya pada 2011 untuk membenarkan penganut Kristian menggunakan Alkitab dalam amalan agama mereka, tidak mempunyai asas undang-undang.
“Penyelesaian 10-perkara itu kini tidak ada asas dan dianggap kurang penting kepada keputusan Mahkamah Rayuan,” katanya.
Sejurus sebelum pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April, 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghantar surat kepada Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia pada ketika itu, Biskop Ng Moon Hing menyatakan Alkitab boleh digunakan di seluruh negara dan bukan setakat di Sabah dan Sarawak.
Peguam R Kenghadharan, berkata walau apa pun keputusan Mahkamah Persekutuan, ia akan membawa kepada penutup perkara itu dan mengembalikan kehidupan normal selepas lebih setahun berlakunya ketegangan kaum dan agama.
“Sepanjang tempoh setahun lalu membuatkan rakyat Malaysia jadi lebih bertoleransi terhadap kritikan. Mahkamah Persekutuan hanya perlu mempercepatkan mendengar rayuan itu,” katanya.
Walaupun Kenghadharan berpegang kepada pandangan Malaysia adalah negara secular dan perlembagaan melindungi hak beragama bukan Islam, semua kini bergantung kepada bagaimana Mahkamah Persekutuan menterjemahkan perlembagaan.
Pada Oktober, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali – yang membenarkan rayuan Putrajaya untuk melarang Herald daripada menggunakan perkataan Allah – berkata pada 1986, Kementerian Dalam Negeri ada mengeluarkan arahan yang melarang penerbitan bukan Islam menggunakan empat perkatan: Allah, Kaabah, Solat dan Baitullah.
Dalam penghakimannya, Apandi berkata alasah terhadap larangan itu ialah melindungi kesucian Islam dan mengelak kekeliruan di kalangan umat Islam.
Beliau berkata, jika Kristian dibenarkan menggunakan perkataan itu, ia boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Tambahan lagi, mahkamah berkata larangan itu adalah munasabah kerana perkataan Allah bukan sebahagian daripada keimanan dan amalan dalam agama Kristian.
Keputusan itu mencetuskan kekecohan di kalangan penganut Kristian dan bukan Islam lain di semenanjung dan Sabah dan Sarawak.
Gereja menyerahkan 26 soalan mengenai perlembagaan, undang-undang pentadbiran dan kuasa mahkamah untuk membenarkan menteri dalam negeri melarang penggunaan perkataan teologi itu.
Ketua Hakim, Tun Arifin Zakaria, Tan Sri Raus Sharif, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Hwa adalah panel yang mendengar permohonan mendapatkan kebenaran rayuan itu.
Sementara itu, SIB pada 2007 mengemukakan cabaran undang-undang selepas buku agama untuk kanak-kanak mereka dirampas pihak berkuasa kastam di Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang.
Mereka memohon untuk membatalkan keputusan menteri untuk larangan mengimport dan menyekat penghantaran buku Sekolah Ahad itu berdasarkan kepada tindakan itu tidak mengikut perlembagaan, berlaku kesilapan dalam undang-undang dan bertindak tanpa bidang kuasa.
Minggu depan, satu lagi Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur akan membuat keputusan sama ada permohonan seorang penganut Kristian dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill terhadap menteri berikutan rampasan 8 cakera padat (CD) Kristian daripadanya di LCCT mempunyai asas undang-undang atau tidak.
Jill Ireland membawa CD berkenaan yang dibelinya di Indonesia untuk kegunaan peribadi, bertajuk "Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah", "Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah" dan "Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah".
Putrajaya menyandarkan harapan kepada keputusan Mahkamah Rayuan untuk menyatakan menteri bertindak mengikut kepentingan negara. – 7 Mei, 2014.
0 comments:
Post a Comment