KUALA LUMPUR – India akan membuka tiga lagi Pusat Penyumberan Luar Visanya di Ipoh, Seremban dan Melaka mulai 2 Jun ini.
Dengan pembukaan pusat baharu itu, India kini mempunyai enam pusat visa di negara ini termasuk di Kuala Lumpur, Penang and Johor Bahru, kata Suruhanjaya Tinggi India di sini, hari ini.
Menurut kenyataan suruhanjaya tinggi itu, inisiatif Kerajaan India itu adalah untuk memudahkan urusan rakyat Malaysia yang mahu ke India.
Dengan pembukaan pusat baharu ini, pemohon visa tidak lagi perlu ke Kuala Lumpur untuk mengemukakan permohonan visa atau memberikan data biometrik mereka.
Sebaliknya, mereka boleh menggunakan kemudahan yang disediakan di enam pusat berkenaan untuk mengemukakan permohonan visa dan mengambil visa, kata suruhanjaya tinggi itu.
Lokasi pusat baharu itu ialah di No 120, Jalan Sultan Yusuf, 30000, Ipoh, Perak; No 2B, Jalan Temenggong, 75000, Melaka; dan Suite No 10, Tingkat Dua, Lucky Plaza, Jalan Dato Lee Fong Yee, 70000, Seremban, Negeri Sembilan.
Kerajaan India juga berhasrat membuka lebih banyak pusat seumpama itu tidak lama lagi.
Suruhanjaya Tinggi India turut menyatakan mulai 2 Jun ini, pemohon visa India wajib memberikan data biometrik mereka.
Sebelum ini, akhbar melaporkan usaha membuka lebih banyak pusat visa India adalah berikutan aduan mengenai peraturan baharu Suruhanjaya Tinggi India di sini yang memerlukan pemohon hadir semasa megemukakan permohonan visa.
Jurucakap suruhanjaya tinggi itu dipetik sebagai berkata bahawa langkah itu bertujuan menjimatkan masa dan kos pemohon visa.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment