BEIJING – Malaysia dan China pada Sabtu memperbaharui ikatan persahabatan yang terjalin sejak empat dekad yang lalu.
Dalam satu majlis ringkas tetapi bermakna di Dewan Agung Rakyat terletak berhadapan Dataran Tiananmen di sini, pemimpin kedua-dua negara yang turut disertai para diplomat, komuniti perniagaan dan belia yang mewakili generasi akan datang, berkumpul bagi memperingati peristiwa bersejarah yang berlaku 40 tahun lalu, di tempat yang sama.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari China Li Keqiang menyempurnakan majlis yang berlangsung di Dewan Barat Dewan Agung Rakyat itu.
Ia merupakan dewan yang sama, Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein yang juga bapa Najib memulakan hubungan muhibah untuk menyemai bibit-bibit pemahaman dan kepercayaan bersama.
Di sini juga, pada tanggal 31 Mei 1974, Tun Abdul Razak Hussein menandatangani perjanjian bersama-sama Perdana Menteri Zhou Enlai, secara rasminya menjalinkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Pada majlis hari ini, Najib dan Li menandatangani pernyataan bersama untuk terus memperluas dan mengukuhkan kerjasama dalam semua bidang yang membawa manfaat bersama – ekonomi, pelancongan, perkhidmatan kewangan, politik, budaya dan ketenteraan.
Kedua-dua negara juga bersetuju untuk melakukan pertukaran lebih ramai pelajar, bekerjasama rapat dalam bantuan bencana dan memelihara kestabilan dan keselamatan di rantau ini.
Najib turut menyampaikan satu set setem peringatan kepada Li yang dikeluarkan Bank Negara.
Sebagai balasan, Li menyampaikan, satu set setem peringatan yang dikeluarkan China Post kepada pemimpin Malaysia itu.
Persahabatan yang bermula semasa Dinasti Song berkembang di bawah Dinasti Ming, kerana hubungan yang dibina di atas dasar perdagangan telah diperkukuhkan dengan pertalian darah — memandangkan keluarga dari China menjadikan Selat Melaka, tempat tinggal mereka.
Malaysia negara pertama dari Asia Tenggara yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.
Sepanjang empat dekad lalu, hubungan persahabatan dan perniagaan kedua-dua negara telah membangunkan dengan pesat.
China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dan Malaysia sebaliknya merupakan rakan perdagangan terbesar China, di Asean.
Kedua-dua negara telah membentuk Perkongsian Strategik Komprehensif untuk kemakmuran dan pertumbuhan dan pada tahun lepas dengan menandatangani Program Lima Tahun Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan bagi tempoh 2013 hingga 2017.
Sumber: Bernama
0 comments:
Post a Comment