Bintang sinetron remaja Indonesia, Nikita Willy dihambat konflik ekoran hubungan cinta berakhir di pertengahan jalan
Hubungan cinta jarak jauh bintang sinetron remaja, Nikita Willy dan pemain bola sepak, Diego Michiels yang cuba dipertahankan, ternyata berakhir dengan konflik memedihkan.
Tindakan Diego yang menyindir Nikita menerusi akaun Twitter, menimbulkan kemarahan ibu pelakon yang dikenali menerusi drama rantaian Safa dan Marwah, Cinta dan Anugerah, Puteri Untuk Ditukar serta Roman Picisan itu.
SUDAH LEBIH SEBULAN KAMI BERPISAH. CUMA SEBELUM INI, JIKA DITANYA SAYA ENGGAN MENGAKUINYA. SECARA JUJUR, TIADA MASALAH KERANA KAMI BERPISAH SECARA BAIK”
Meskipun sindiran Diego tidak menyebut secara terang nama Nikita, tetapi peminat yang memahami perjalanan cinta mereka tahu ia ditujukan kepada gadis berusia 19 tahun itu selepas hubungan pasangan berkenaan berakhir.
Kesan daripada konflik yang timbul, terutama selepas Diego membangkitkan kehadiran orang ketiga sebagai punca perpisahan mereka, Nikita terpaksa mengambil tindakan undang-undang.
Menerusi peguamnya, Elza Syarief, Nikita menegaskan tidak timbul soal curang seperti yang didakwa malah menyifatkan kegagalan itu sebagai lumrah yang dilalui pasangan berbeza haluan.
“Tidak timbul soal curang, apatah lagi pernikahan seperti yang didakwa ramai. Saya mohon saat ini jangan ada lagi berita negatif mengenai Nikita kerana usianya yang masih mentah,” kata Elza pada satu sidang media di Menteng, Jakarta Pusat, Isnin lalu.
Elza menegaskan, cinta jarak jauh menjadi penyebab utama yang merenggangkan hubungan asmara antara Nikira dan Diego, terutama selepas jejaka asal Belanda itu bermastautin di Kalimantan Timur kerana bermain untuk pasukan Mitra Kukar.
“Diego sudah menjelaskan hubungan mereka putus kerana sering berjauhan. Ketika ini, mereka fokus dengan kerjaya masing-masing.
“Nikita sendiri sibuk dengan penggambaran dan kuliah, manakala Diego menjalani latihan bola sepak. Saya sempat menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada Diego memintanya supaya menarik balik status yang dimuat naik dan meminta maaf kepada Nikita.
“Dia juga diberi amaran akan dikenakan tindakan undang-undang seandainya Diego berterusan memburukkan Nikita,” katanya.
Diego, bagaimanapun menafikan akaun itu ialah akaun rasminya, tetapi pada pagi Isnin lalu memberitahu, dia tidak pernah memburukkan Nikita malah menganggap kes mereka sudah selesai.
Elza menegaskan, sebagai penegak undang-undang dia akan bertindak untuk melindungi anak guamnya supaya tidak terus diganggu tohmahan.
Pernah dikasari Diego
Polemik cinta mereka yang berakhir sejak sebulan lalu terus marak apabila Nikita mendakwa, dirinya pernah dikasari bekas kekasihnya membuatkannya bertekad memutuskan hubungan mereka.
“Nikita pernah dikasari, tetapi disebabkan tiada saksi perkara itu diam begitu saja,” kata Elza.
Enggan mendedahkan bentuk kekasaran yang dilakukan Diego, Elza berkata, selepas dua kali terheret dalam isu yang sama, masyarakat sudah boleh menggambarkan perilaku jejaka itu.
“Tidak perlu saya jelaskan kerana kalian sudah mempunyai bukti, terutama kekasaran terbaharu yang berlaku di Samarinda.
“Disebabkan mereka tidak punya hubungan lagi, rasanya perkara ini tidak perlu dipanjangkan. Biarlah semua itu menjadi pengalaman berharga dalam hidup Nikita,” katanya.
Nikita yang sebelum ini mengambil pendirian untuk tidak mengulas panjang mengenai hubungannya yang kandas di pertengahan jalan, akhirnya akur menerima kenyataan.
“Sudah lebih sebulan kami berpisah. Cuma sebelum ini, jika ditanya saya enggan mengakuinya. Secara jujur, tiada masalah kerana kami berpisah secara baik.
“Bukan tidak serasi kerana sudah lebih dua tahun kami bercinta. Cuma jarak kerana saya di Jakarta dan Diego di Kalimantan Timur, membuatkan hubungan kami renggang.
“Kami jarang bertemu, kecuali jika mempunyai waktu terluang. Cuma saya tidak mampu bertahan jika berterusan seperti ini,” katanya.
Musibah bertimpa
Entah kenapa, kebelakangan ini Nikita sering ditimpa musibah. Selepas percintaannya gagal, dia berdepan dugaan apabila sinetron yang dibintanginya, Kau Berasal Dari Bintang dihentikan siaran kerana menciplak drama rantaian Korea, Man From The Star.
Kesan daripada insiden itu, Nikita sering menjadi mangsa tudingan jari terutama di media sosial yang membandingkan kualiti lakonannya dengan pelakon asal drama itu, Jun Ji Hyun.
Sebelum itu, Nikita pernah berdepan kontroversi apabila foto intim bersama Diego tersebar di laman maya yang membuatkannya enggan berdiam diri.
Membantah foto yang beredar adalah milik mereka berdua, Nikita sekali lagi menjadi perhatian umum apabila tampil tanpa seurat benang yang menutupi bahagian atas tubuhnya.
Tidak hanya itu, Nikita turut mengejutkan ramai apabila tampil seksi dengan berbikini ketika bercuti bersama Diego di Pulau Macan, Kepulauan Seribu, Jakarta Utara.
Kesibukannya dengan lakonan menimbulkan gosip dirinya disingkirkan dari sekolah. Bagaimanapun, Nikita menyangkal dakwaan dibuang sekolah sebaliknya memilih untuk belajar dari rumah kerana komitmennya terhadap dunia lakonan.
Sumber: BH Online
0 comments:
Post a Comment