Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, June 15, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Tidak dapat disangkal alam siber membawa pelbagai manfaat kepada pengguna termasuk dalam aspek hubungan antara negara, namun kini medium itu juga dianggap oleh pakar keselamatan sebagai ancaman terbaru pertahanan sesebuah negara.

Antara ancaman alam siber ialah kegiatan menggodam yang berupaya mendedahkan sistem pertahanan dan maklumat negara kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, isu keselamatan siber sudah wujud sejak beberapa tahun lalu dan walaupun tidak membabitkan banyak pihak, kesannya sangat ketara.

“Ancaman alam siber menguji keampuhan pertahanan negara bukan dari segi fizikal, tetapi teknologi yang kecanggihannya disalah guna untuk kepentingan pihak terbabit,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini.

Sehubungan itu, katanya sangat penting bagi sektor pertahanan negara mengetahui cabaran baharu pada masa depan yang pastinya lebih hebat seiring dengan perkembangan teknologi.

Menurut Zulkifeli dalam masa yang sama sektor pertahanan negara turut berdepan dengan ancaman bukan konvensional yang semakin mendapat momentum dan diyakini terus berkembang pada masa depan.

“Dalam abad ini, persengketaan antara negara telah banyak berkurangan. Sekarang kita menghadapi banyak isu-isu yang bukan konvensional seperti jenayah rentas sempadan, kegiatan lanun, dan penyeludupan manusia.
“Satu lagi jenis ancaman ialah penggunaan bahan-bahan kimia dan sebagainya yang memang telah sedia wujud sejak sekian lamanya,” katanya.

Beliau berkata, bentuk ancaman terbabit akan terus berubah seiring peredaran zaman, namun objektif mungkin sama.

Selaras itu juga katanya ATM berkembang dan belajar daripada pengalaman bagi memastikan struktur pertahanan negara terus tersusun dan kekal ampuh.

“Kita memang bersedia dan sentiasa membuat persiapan. Kita boleh berada dalam keadaan paling bersedia, tetapi kita tidak tahu sejauh mana (kesan) ancaman yang mungkin datang.

“Bagaimanapun di peringkat nasional hinggalah ATM, kita mempunyai kepakaran dan sistem yang boleh mencegah ancaman itu,” kata Zulkifeli.

Dari segi ancaman alam siber, beliau berkata, kerajaan menubuhkan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang peranan utamanya mengukuhkan keselamatan siber, mengawal selia aktiviti-aktiviti siber dan sebagainya.

“Yang pentingnya sekarang ini kita perlu ada kerjasama bukan saja dengan negara serantau, tetapi juga negara lain yang kita ada kepentingan dari segi pertahanan dan ekonomi,” katanya yang turut mengakui kepentingan pertukaran maklumat dan perisikan.

Zulkifeli juga berkata, ATM masih berusaha untuk membina dan memperkukuh industri pertahanan negara tatkala kebanyakan negara lain melakukannya lebih awal.

Antara yang dilaksana ialah menjalin kerjasama dengan syarikat yang kukuh dalam industri pertahanan dan juga industri lain sebagai strategi serampang dua mata iaitu untuk kegunaan tentera dan juga awam memandangkan kos untuk membangunkan sektor pertahanan amat tinggi.

“Sekarang saya lihat industri pertahanan kita semakin matang dan lebih fokus dalam memberi keutamaan terhadap apa yang boleh dibangunkan dulu,” tambahnya.

Dalam pada itu, menyedari jumlah peruntukan untuk pertahanan negara terbatas, Zulkifeli menggesa agar industri pertahanan tempatan dibangunkan dengan lebih agresif.

“Ada masanya peruntukan yang kita peroleh tidak mencukupi. Jadi kita perlu mengubah suai atau menjadi lebih kreatif dalam menggunakan dan mengagihkan peruntukan yang ada,” katanya.

Pendekatan ini perlu dilakukan supaya produk atau aset yang dihasilkan kelak memberi nilai terbaik terhadap wang yang dibelanjakan selain dapat mengurangkan kos penyelenggaraan dan kos perolehan aset itu.

Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment