Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, June 7, 2014

No Comment
Waris penumpang MH370 dikejutkan apabila mendapati acara majlis makan malam untuk mengumpul dana bagi keluarga MH370 dianjurkan tanpa pengetahuan mereka. – Gambar fail, 7 Jun, 2014 The Malaysian Insider
Waris penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 mendakwa wujudnya pihak yang mengambil kesempatan atas tragedi  ‎itu, apabila mendapati terdapat dua program makan malam amal bagi kutipan dana dibuat April lalu tanpa pengetahuan mereka.

Mengakui membuat laporan polis mengenai hal itu, mereka berkata program makan malam dianjurkan sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang digelar Malaysia, China Indonesia (MCI) Budaya Muslim dan Econtrade diadakan di sebuah hotel di Seremban, Negeri Sembilan pada 21 April lalu dan hotel di Seri Kembangan tiga hari kemudian.

Selain itu, mereka mendakwa penganjur juga tidak pernah datang berunding, memberitahu atau meminta kebenaran sehingga menyebabkan ahli keluarga penumpang pesawat MH370 merasa terkejut apabila mengetahui acara itu diadakan.

Mereka berkata lagi, laporan polis dilakukan di Petaling Jaya pada Khamis ‎selepas diketahui oleh salah seorang ahli keluarga pesawat malang itu melalui artikel di Internet.

Antara lain, keluarga penumpang MH370 turut mendakwa laporan artikel itu menyatakan sebanyak 500 kerusi dibuka untuk tempahan berharga di antara RM1,500 dan RM10,000 sementara meja tempahan pula berharga antara RM2,000 dan RM 15,000.

‎NGO itu juga dikatakan mengemukakan nombor bank akaun kepada umum bagi tujuan kutipan dana.

Manakala laporan yang turut dipaparkan pada laman Facebook keluarga MH370 dan kebanyakan ahli keluarga pesawat itu menyatakan langsung tidak menyedari kewujudan acara itu.

"Kami membuat laporan polis untuk memberitahu masyarakat kami langsung tidak menerima sebarang wang hasil kutipan derma daripada majlis makan malam itu, termasuk tidak mengetahui acara itu diadakan.

"Kami amat risau memikirkan masyarakat akan memikirkan wang tersebut diberikan kepada kami," katanya.

Dalam laporan polis, mereka turut meletakkan Datuk Andrew Lim sebagai individu yang dihubungi ahli keluarga MH370 bagi mendapat ‎penjelasan mengenai acara tersebut.

Lim ketika dihubungi The Malaysian Insider memberitahu menerima panggilan daripada ahli keluarga MH370 yang cuba mengugut beliau.

"Dua individu menghubungi saya. Mereka bertanyakan mengenai makan malam itu dan amat kasar. Saya tidak tahu adakah mereka ahli benar ahli keluarga seperti didakwa. Saya memberitahu saya bukanlah penganjur, namun hanya penaja dan meminta mereka menulis kepada MCI bagi penjelasan lanjut, namun mereka enggan mendengar saya.

"Mereka mengugut saya  dengan berkata saya per‎lu lari laju-laju sebelum mereka menangkap saya. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Kerana itu saya membuat laporan polis pada Khamis untuk menjaga reputasi saya sebagai ahli perniagaan selain membuktikan tidak bersalah," katanya.

Lim yang merupakan anggota NGO tersebut mengakui menghadiri kedua acara itu, namun bertindak sebagai penaja dalam persembahan budaya dengan membawa penari dari China.

"Benar saya ada pada kedua acara di Seremban dan Seri Kembangan, namun makan malam itu sikit pun tidak menyebut mengenai kutipan amal untuk keluarga MH370. Mereka yang menghadiri acara itu mengetahui perkara sebenar," katanya.

Katanya, acara di Seremban adalah lebih kepada program kebudayaan dianjurkan kerajaan negeri.

"Saya di sana bagi menjaga kebajikan penari kebudayaan dibawa dari China bagi acara itu. Tiada kutipan dana dikumpul bagi tujuan makan malam itu," katanya.

Bagi acara di Seri Kembangan pula, Lim berkata ia dihadiri kira-kira 500 orang di mana tujuan makan malam itu adalah untuk merapatkan pertalian antara Muslim di China, Malaysia dan Indonesia.

"Acara itu memang sepatutnya ada bidaan ketika makan malam, namun ia tidak berjalan dengan lancar dan tiada duit dikumpul," katanya.

Ditanya mengenai sebuah artikel yang disiarkan di Internet mengenai rancangan MCI mengadakan makan malam amal bagi kutipan dana, beliau berkata ia sememangnya merupakan rancangan asal, namun ‎tidak dilaksanakan.

Lim juga berkata sudah menyerahkan penyata kewangan MCI kepada polis.

"Saya tidak ada apa yang perlu disembunyi," katanya.

Katanya, Naib Pengerusi MCI Datuk Seri Abdul Shukor Mohsin juga mengetahui mengenai panggilan yang diterima.

Sementara itu, Penolong Komisioner Polis ACP Razimi Ahmad mengesahkan ada menerima kedua-dua laporan polis tersebut. – 7 Jun, 2014.

Sumber: The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment