FILEM
berjudul Mencari Cinta yang diarahkan oleh Shirin Khuzaimi buat pertama
kalinya telah menggandingkan dua orang pelakon popular iaitu Rusdi
Ramli dan Nora Danish.
Namun begitu, pihak media yang berkesempatan menonton sebahagian sedutan
filem berkenaan dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di Ipoh,
Perak, mendapati banyak adegan romantik dan ranjang yang membabitkan
kedua-dua pelakon berkenaan.
Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20, Rusdi ketika ditemui berkata dia sendiri tidak menyangka perlu melakonkan adegan yang pastinya mampu mencipta sensasi apabila ditayangkan nanti.
“Biarpun sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan, tetapi bukan mudah
untuk saya melakonkan adegan romantik dan ranjang. Apatah lagi
melakukannya dengan pelakon cantik seperti Nora Danish dan saya pula
sudah berumah tangga.
“Bagaimanapun, saya anggap setiap babak yang kami lakonkan itu
sebahagian daripada tuntutan kerja. Lagipun, sebelum memulakan sesuatu
babak itu saya dan Nora banyak membuat perbincangan,” ujar suami kepada
komposer Sharon Anne Paul Abdullah.
Mencari Cinta mengisahkan tentang Myra (Nora Danish) yang telah dipaksa
oleh ayahnya untuk berkahwin secara paksa dengan seorang pemuda kampung
iaitu Razlan (Rusdi Ramli) setelah ditinggalkan kekasihnya.
Filem genre romantik diterbitkan oleh syarikat produksi Armnett Sdn.
Bhd. dan Red Movies Sdn. Bhd. itu sudah tamat menjalani penggambaran di
sekitar Kuala Lumpur dan Janda Baik pada bulan Mac lalu dengan kos
sekitar RM1.5 juta.
Akui Rusdi, pada mulanya dia agak terkejut apabila membaca skrip filem
berkenaan terutamanya babak-babak yang perlu dilakonkan bersama Nora,
namun dia tetap menerima tawaran yang diberikan kerana watak sebagai
Razlan agak berbeza dengan filem-filem lakonannya sebelum ini.
“Perasaan berdebar itu memang ada memandangkan saya tidak pernah
terbabit dalam adegan ranjang seperti di atas katil. Untuk mengelakkan
rasa kekok, saya meletakkan diri saya sebagai Razlan dan bukan Rusdi.
“Bagi saya, tidak perlu ada sebarang kontroversi yang perlu timbul
kerana kami sekadar melakonkan adegan sebagai pasangan suami isteri.
Kami sekadar berlakon mengikut kehendak skrip dan adegan yang
ditampilkan tidak keterlaluan,” jelas pelakon berusia 42 tahun itu.
Sementara itu, Nora yang turut hadir pada majlis tersebut meluahkan rasa
gembiranya apabila dapat bergandingan dengan Rusdi yang disifatkannya
sebagai seorang pelakon yang hebat.
Ujar Nora, selama ini dia memang teringin untuk berlakon dengan
pelakon-pelakon lelaki yang lebih berpengalaman dan pernah dinobatkan
sebagai pelakon terbaik seperti Rusdi.
“Sebelum ini saya lebih banyak melakonkan watak-watak gadis ceria dan
ini kali pertama saya membawakan watak romantik. Pada mulanya saya
menyangka berlakon dalam filem bergenre romantik sangat mudah.
“Namun, sangkaan saya ternyata meleset sama sekali dan saya anggap watak
saya dalam filem Mencari Cinta ini sangat mencabar dan memerlukan
penghayatan yang lebih mendalam,” jelasnya.
Diminta mengulas mengenai adegan romantik dan ranjang yang perlu
dilakonkan bersama Rusdi, pelakon berusia 30 tahun itu memberitahu dia
tidak dapat menahan ketawa ketika melakukannya.
“Bukan mudah untuk melakonkan adegan sebegitu dan ini kali pertama saya
melakukannya. Namun, pengarah sendiri banyak membantu dan Rusdi juga
banyak memberi tip lakonan kepada saya,” ujarnya.
Selain dijayakan oleh Rusdi dan Nora, filem berkenaan juga turut
dilakonkan ramai pelakon hebat seperti Fouziah Ghouse, Riezman Khuzaimi,
Mahmod Ali Basha, Norlida Ahmad, Daphne Iking dan Natasha Hudson.
Festival Filem Cannes
Selaku pelakon dan pengarah kedua atau pengarah teknikal dalam filem
Mencari Cinta, Riezman Khuzaimi memberitahu pada asalnya filem berkenaan
mahu dibuat dalam bentuk drama dan skripnya pula sudah dihasilkan sejak
tiga tahun lalu.
Ujarnya, pemilihan Rusdi dan Nora sebagai teraju utama filem pertama
arahan Shirin yang juga kakaknya itu kerana tarikan tersendiri yang ada
kepada kedua-dua pelakon tersebut.
“Kami menghasilkan filem ini bukanlah disebabkan terpengaruh dengan
sambutan hangat yang pernah diraih filem Ombak Rindu. Sebenarnya sudah
lama filem ini mahu dihasilkan, tetapi tidak dapat terlaksana kerana
beberapa sebab tertentu.
“Kini saya gembira dan berpuas hati kerana akhirnya ia telah terhasil
dan kami berharap ia dapat ditayangkan pada hujung tahun ini. Namun,
kami tidak terlalu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi kerana sedar
persaingan sengit dengan filem-filem lain,” ujarnya.
Ditanya mengenai beberapa adegan panas dalam filem berkenaan yang
mungkin boleh mencetuskan kontroversi, Riezman menjelaskan pihaknya
sedar akan ada tapisan yang dilakukan oleh Lembaga Penapisan Filem
(LPF).
Riezman menegaskan adegan panas yang ditampilkan dalam filem berkenaan
tidak keterlaluan, namun pihaknya sudah membuat beberapa perancangan
sekiranya LPF tetap membuat tapisan terhadap beberapa adegan.
“Sebagai pihak yang sudah lama berkecimpung dalam industri hiburan, kami
sedar dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh LPF dan kami
tidak kisah sekiranya banyak tapisan yang dibuat untuk tayangan di
negara ini.
“Bagaimanapun, kami sudah pun merancang mahu menghantar filem ini ke
Festival Filem Cannes di Perancis untuk bertanding dalam kategori
Anugerah Pengarah Wanita. Jadi, kami akan menghantar salinan filem
tersebut yang tidak ditapis untuk dinilai oleh juri di festival
tersebut,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment