KULIM – Hasrat seorang lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun untuk
melarikan kekasihnya tidak kesampaian apabila mereka ditahan di Stesen
Bas Kulim kira-kira jam 10 pagi kelmarin ketika hendak membeli tiket
menuju ke Kuala Lumpur.
Kejadian berlaku apabila orang awam ternampak suspek dan mangsa yang
merupakan seorang pelajar berusia 15 tahun berlegar di kaunter tiket
dalam keadaan mencurigakan sebelum menghubungi polis.
Mangsa ketika ditemui berkata, dia mengenali suspek sebulan lalu apabila suspek tersalah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya.
Menurutnya, sejak itu, suspek mula menghubungi mangsa dan menjalinkan hubungan cinta.
“Saya tidak kenal dia (suspek). Kami berkenalan hanya melalui telefon
sahaja. Dia tinggal di Johor dan berasal dari Solo, Indonesia. Dia
sering menghubungi saya dan menyatakan hasrat membawa saya ke Kuala
Lumpur bersiar-siar.
“Beberapa hari lalu, dia mendesak untuk berjumpa saya. Dia mengarahkan
saya memakai pakaian sekolah apabila keluar dari rumah. Selain itu, dia
turut mengarahkan saya membawa sijil kelahiran dan buku bank bersama,”
katanya.
Mangsa berkata, suspek menghubunginya melalui telefon kira-kira jam 6.15
pagi kelmarin dan memintanya untuk pergi ke rumah seorang rakan.
Katanya, apabila tiba di tempat dijanjikan, suspek membawanya ke Stesen
Bas Kulim untuk mendapatkan tiket ke Kuala lumpur sebelum meneruskan
perjalanan mereka ke Solo di Indonesia.
“Dia mengugut saya sekiranya tidak mahu mematuhi arahan, sesuatu yang
buruk akan berlaku terhadap saya. Saya takut dan terpaksa ikut segala
kehendaknya.
“Sepanjang perjalanan ke Kulim, suspek hanya memegang tangan saya dan
berkata dia akan membawa saya ke kampungnya di Indonesia,” katanya.
Bagaimanapun suspek menafikan segala kenyataan dibuat mangsa sebaliknya
menyatakan mangsa meminta suspek membantunya kerana sering dipukul teman
lelakinya.
“Saya mengenali dia (mangsa) sebulan lalu dan kami menjalinkan hubungan
cinta sejak dua minggu ini. Sepanjang perkenalan kami, ini adalah kali
pertama saya bertemu dengannya. Sebelum ini kami hanya berhubung melalui
telefon. Saya datang untuk membantunya dan tidak berniat jahat,”
katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh
berkata, pihaknya berterima kasih kepada orang awam yang peka dan
prihatin sehingga berjaya mematahkan cubaan melarikan mangsa.
Menurutnya, dari siasatan dan pemeriksaan dijalankan terhadap SMS
dihantar suspek, polis mendapati suspek telah merancang untuk melarikan
mangsa sejak beberapa hari lalu.sumber
0 comments:
Post a Comment