Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh pengarah terkemuka, Ahmad Idham menerusi laman sosial Twitter miliknya hari ini, beliau mempersoal kewajaran serta kebenaran disebalik pembikinan sebuah iklan Kemerdekaan Malaysia yang diterbitkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
MyNewsHub menghubungi beliau bagi mendapatkan sendiri kepastian serta persoalan berkenaan pembikinan promo yang bernilai standard dengan iklan Petronas itu.
“Saya tidak pasti perkara ini sahih atau tidak. Tetapi kalau ikut sumber yang saya percaya, perkara ni betul.
“Kalau betul, saya hanya mahu penjelasan daripada Finas berkenaan jumlah yang begitu besar dalam membuat iklan tiga minit itu,” jelas Ahmad Idham ketika dihubungi MyNewsHub sebentar tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Idham turut mempersoal sama ada perkara tersebut dipanjangkan kepada pengetahuan menteri ataupun tidak.
“Harga untuk iklan ni sampai RM1 juta pun ada. Tetapi bila menggunakan harga yang tinggi, apakah benar-benar kesannya terhadap penonton?
“Lagi yang saya pelik, iklan Kemerdekaan itu bukan untuk tayangan di kaca televisyen, sebaliknya hanya sebagai iklan di dalam pawagam,” ujar Ahmad Idham.
Pada masa yang sama, Ahmad Idham turut menyuarakan rasa kekecewaannya terhadap pengurusan Finas yang sering mengambil pendekatan berdiam diri dalam sesuatu perkara.
“Bila ada isu-isu besar, Finas ni mulalah diam. Bila pelajar ataupun produser mohon bantuan untuk penerbitan, Finas cakap tak ada duit.
“Industri kita tidak berada di tahap yang baik. Sistem pendekatan oleh Finas perlu diubah. Kita bukan macam 10 tahun dulu, masa berubah, era berubah,” tegas Ahmad Idham.
Justeru, beliau meminta supaya pihak Finas dapat menjelaskan perkara tersebut dengan teperinci kepada orang ramai kerana setiap sen yang dikeluarkan oleh Finas adalah wang rakyat.
0 comments:
Post a Comment