KUALA LUMPUR – Dewan Ulama PAS Pusat merancang mengadakan satu seminar khas mengenai syariah Islam kepada orang ramai bersempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, seminar itu bertujuan memberi kefahaman mengenai syariah Islam sebagai satu sistem dalam perundangan negara.
“Tujuan seminar ini untuk memberi kefahaman dan penekanan tentang hikmah perlaksanaan syariah Islam bagi memelihara agama, keturunan, akal, maruah dan harta.
“Ia juga memberi penjelasan terhadap persoalan yang mengelirukan mengenai syariah Islam, mencari jalan persefahaman dan penyelesaian ke arah perlaksanaan syariah Islam dalam konteks demokrasi,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, program bertajuk ‘Seminar Perlaksanaan Syariah Islam Di Malaysia : 56 Tahun Merdeka-Halangan dan Penyelesaian’ itu juga bertujuan mendedahkan kepincangan dan kegagalan undang-undang manusia dalam menyelesaikan permasalahan jenayah.
Jelass beliau, seminar itu dirancang diadakan pada 12 Oktober ini di Shah Alam Selangor dan pihaknya menyasarkan ahli jawatankuasa pakatan pembangkang peringkat pusat dan negeri serta ahli akademik menyertainya.
Katanya, seminar itu turut ditujukan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
“Pembentang dan pengulas dalam seminar itu terdiri daripada pelbagai bidang berkaitan meliputi pengamal undang-undang dan sebagainya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment