KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dan ‘lintah darat’ ditahan bersama sepucuk pistol jenis semi auto 9mm di Jalan Maharajalela, di sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata suspek yang berusia 53 tahun ditahan sepasukan polis dari Unit Rondaan Bermotosikal Dang Wangi ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui sepucuk pistol bersama 50 butir peluru hidup yang disembunyikan di dalam beg serta merampas 1,000 biji pil ecstasy yang disimpan di dalam beg berkenaan.
“Hasil soal siasat, polis menyerbu rumah suspek di Kajang dan menahan seorang wanita warga Indonesia berusia awal 30-an dipercayai isteri suspek. Polis turut merampas dua paket pil ecstasy serta beberapa kad pinjaman ‘Ah Long’,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.
Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif mengedar dadah dan menjalankan kegiatan ceti haram di sekitar Lembah Klang.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, dalam kes berasingan beliau berkata tiga lelaki ditahan pada 16 November lepas dipercayai aktif melakukan samun kedai serbaneka 7 Eleven di sekitar ibu kota.
Zainuddin berkata, tiga suspek berusia 20 hingga 27 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Setapak.
“Siasatan kita mendapati suspek ini bergerak dalam kumpulan dan akan pergi ke 7 Eleven serta berpura-pura membeli kad prabayar sebelum mengacukan parang dan mengugut penjaga kaunter untuk menyerahkan wang tunai dan melarikan beberapa barang lain seperti rokok,” katanya.
Polis turut memburu seorang lelaki dikenali sebagai Fiq dipercayai seorang daripada anggota kumpulan berkenaan yang masih bebas, katanya.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya tiga suspek berkenaan polis berjaya menyelesaikan beberapa kes samun membabitkan kedai serbaneka di sekitar Kuala Lumpur. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment