KOTA KINABALU – Jabatan Penerangan Sabah menyifatkan penubuhan pusat media Operasi Daulat (Ops Daulat) di Felda Sahabat, Lahad Datu ketika krisis pencerobohan pengganas Sulu awal Februari lepas merupakan tanggungjawab paling getir yang ditempuhi.
Pengarah Penerangan Sabah Almain Ajirul berkata tempoh operasi itu merupakan paling lama yang pernah dikelolakan oleh pihaknya iaitu selama lebih dua bulan bermula 17 Feb hingga 14 April.
“Di ruang yang ada ini, saya amat berbesar hati mengucapkan syabas dan jutaan tahniah kepada semua pengamal media di negeri Sabah dan para petugas Jabatan Penerangan Sabah yang terlibat dalam pusat media Ops Daulat tersebut,” katanya di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis mesra media anjuran jabatan itu yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah AbdulJalani Mahmud dan Pemangku Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Francis Fahir.
Sepanjang operasi itu, Jabatan Penerangan menempatkan kira-kira 53 petugas jabatan daripada pelbagai jawatan mengendalikan sebanyak 170 wakil media tempatan dan 45 anggota media antarabangsa seperti Reuters, Associated Press (AP), Agence France-Presse (AFP) dan Al Jazeera.
Pusat media yang beroperasi 24 itu ditutup sepenuhnya selepas Ops Daulat diumum berakhir oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia sebelum itu memberi kemudahan Internet, komputer dan percetakan kepada wartawan dan jurugambar yang membuat liputan sepanjang operasi berkenaan.
Pusat media itu diwujudkan bertujuan memudahkan petugas media membuat liputan berita, menganalisis laporan, menangkis laporan negatif dan menggunakan pendekatan media yang berkesan dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai, kata Almain.
Pada 5 Mac lepas, pasukan keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia melancarkan Ops Daulat untuk membanteras penceroboh berkenaan melalui strategi Lautan Biru setelah rundingan tiga minggu dengan mereka gagal.
Almain berkata pengamal media merupakan pelanggan kepada jabatan yang membuka pusat media itu sebagai pusat sehenti bagi memudahkan penyaluran maklumat dan berita.
“Ini jelas terbukti melalui peranan jabatan yang bertanggungjawab sebagai penyelaras pusat-pusat media bagi acara rasmi kerajaan seperti persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, sambutan Hari Malaysia ke-50 tahun dan pusat media pilihan raya umum ke-13,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap pengamal media dapat membantu kerajaan dengan memberi penekanan terhadap laporan berita yang lebih menumpukan aspirasi pembangunan negara khususnya di negeri ini.
Sebagai contohnya, katanya, pihak media cetak mahupun elektronik mewar-warkan intipati belanjawan negeri yang tertinggi dibentangkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang memperuntukkan RM4.622 bilion berbanding tempoh 50 tahun lepas.- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment