Tokyo – Akibat kecuaian sebuah hospital kira-kira 60 tahun lalu, seorang lelaki telah tertukar semasa bayi dan dibesarkan dalam kemiskinan, meskipun ibu bapa kandungnya adalah orang kaya.
Berikutan itu,lelaki berkenaan yang tidak berkahwin dan hanya bekerja sebagai pemandu lori telah menyaman hospital tersebut.
Mahkamah kemudiannya mengarahkan hospital terbabit membayar pampasan sebanyak RM1.3 juta atas kecuaian yang berlaku pada 1953, yang menyaksikan lelaki itu tertukar dengan seorang bayi lain, yang lahir 13 minit kemudian.
Lelaki itu yang tidak didedahkan identitinya berkata, dia dibesarkan oleh wanita lain yang terpaksa bekerja keras bagi menyara kehidupan mereka selepas suaminya meninggal dunia.
“Saya tertanya-tanya kenapa perkara ini berlaku. Saya tidak dapat mempercayainya dan secara jujur saya tidak mahu menerimanya.
“Jika keadaan ini tidak berlaku, saya pasti dapat hidup dalam keadaan yang berbeza,’’ katanya.
Jelasnya, jika dia dibesarkan oleh ibubapa kandungnya, dia bersama tiga adiknya dapat hidup dalam keluarga yang kaya dan menikmati hidup dengan mewah.
Sebaliknya, akibat kecuaian hospital itu, dia terpaksa membesar di sebuah flat satu bilik.
Satu-satunya barang mewah yang dimilikinya hanyalah radio dan dia juga terpaksa bekerja sambil belajar.
Kehidupannya juga adalah sukar selepas dia terpaksa membantu menjaga abang angkatnya yang mengalami strok.
Perkara sebenar terbongkar selepas tiga adik kandungnya menjalani ujian DNA selepas mendapati wajah `abang’ mereka berbeza dengan mereka sekeluarga.
Keadaan sebenar yang diketahui tahun lepas selepas pihak hospital mengesahkan berlaku pertukaran bayi ketika lelaki itu dilahirkan.
0 comments:
Post a Comment