Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Saturday, November 30, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Bermula Isnin ini, Umno akan mengangkat tirainya untuk memberi laluan kepada perhimpunan agung parti yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Biarpun ada kalangan beranggapan perhimpunan kali ini ‘kurang power’ sementelah berakhirnya pilihan raya umum ke-13 dan pemilihan parti, namun ia diyakini tetap menjadi tumpuan pelbagai pihak, khususnya yang mahu melihat apakah hala tuju dan strategi Umno dalam mencatur kedudukannya dalam arena politik tempatan.

Perhimpunan kali ini juga penting untuk melihat kesatuan pucuk pimpinan baharu yang bakal menerajui parti itu untuk berdepan cabaran getir dalam pilihan raya umum ke-14 kelak.

Seramai 5,726 anggota perwakilan Umno dari seluruh negara dijadual menghadiri perhimpunan itu yang akan berlangsung dari 2 hingga 7 Dis ini.

Menurut Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, daripada jumlah itu, 2,759 merupakan anggota perwakilan bagi perhimpunan agung, manakala perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri masing-masing akan disertai 989 anggota perwakilan.

Katanya sebanyak 101 wakil 32 parti dari 28 negara juga telah mengesahkan kehadiran dan sebanyak 80 anggota perwakilan dari 73 Kelab Umno Luar Negara dan tujuh badan perhubungan negara akan turut menyertai perhimpunan kali ini.

Pelbagai program diadakan sepanjang perhimpunan berlangsung dimulai dengan Persidangan Kelab Umno Luar Negara pada Ahad ini (1 Dis) di Dewan Tun Ismail, PWTC, diikuti dengan satu forum antarabangsa bertemakan politik kesederhanaan dan prinsip kestabilan akan diadakan pada Isnin dan Selasa.

Perdana menteri dijadual menyampaikan ucap tama pada forum itu manakala bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menghadiri majlis jamuan tengah hari bersama peserta forum itu sebelum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dijadual merasmikan majlis penutup forum itu.

Forum dua hari itu turut mencatat sejarah dengan penyertaan lebih ramai tokoh politik terkemuka dunia termasuk pemimpin kanan Hamas, Khalid Meshaal.

Turut mengesahkan kehadiran ke forum itu ialah bekas naib presiden Kenya yang juga pemimpin Wiper Party Kenya, Stephen Kalanzo Musyoka, calon presiden Indonesia dari parti Golkar, Aburizal Bakri, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia yang baharu, Joseph Y. Yun dan wakil parti PAP dari Singapura.

Pada 3 Disember, akan berlangsungnya Majlis Taklimat Presiden yang diadakan secara tertutup sebelum perasmian serentak perhimpunan agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada pukul 8 malam di Dewan Merdeka.

Perhimpunan ketiga-tiga sayap parti itu akan berlangsung selama dua hari sebelum majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno diadakan pada 5 Dis.

Seperti mana lazimnya, tumpuan pastinya diberi kepada ucapan dasar Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dengan amanat yang dijangka akan mengorak hala tuju parti.

Pada 6 Disember, sesi perbahasan usul akan bermula merangkumi usul ucapan dasar presiden, usul ekonomi, agama dan pendidikan, dengan isu berhubung pemilihan parti Oktober lepas dan persiapan bagi pilihan raya umum ke-14 antara yang dijangka menghangatkan perbahasan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata anggota perwakilan Umno kali ini diberi lebih kebebasan untuk membahas pelbagai usul bagi membolehkan mereka mengupas isu berkaitan usul dengan lebih meluas dan mendalam.

Katanya ia juga membuktikan Umno parti yang terbuka dan sering mengambil kira pandangan pelbagai pihak dalam usaha seriusnya untuk memperkasa parti dan negara.

Selain anggota perwakilan, suara golongan profesional, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan Melayu turut diambil kira dan berpeluang untuk memberi input dalam usul yang dibentangkan pada perhimpunan kali ini.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Pengerusi Jawatankuasa Usul perhimpunan berkata Umno menyediakan ruang, peluang dan platform melalui mesyuarat meja bulat dan kaedah-kaedah tertentu untuk mendapatkan input bagi setiap kluster usul dalam usaha menjadikan parti lebih inklusif.

Selain itu, perhimpunan tahunan itu juga akan mengumpulkan sebanyak 1,724 petugas media dari 118 agensi media tempatan dan antarabangsa, media baharu termasuk blogger yang akan berkampung di PWTC untuk membuat liputan sepanjang perhimpunan itu berlangsung. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment