KOTA BHARU – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sebaliknya akan menjawat jawatan sebagai Exco sekiranya memenangi PRK Dun Kajang.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad berkata, selaku Adun ataupun Exco, Anwar boleh mengadakan pertemuan dengan pegawai Kerajaan Negeri dan memberi penjelasan berkaitan sesuatu isu berbangkit sekiranya mempunyai jawatan dalam Kerajaan Selangor.
“Saya difahamkan pilihan raya adalah untuk memperkukuhkan saf kepimpinan di Selangor dengan penglibatan Anwar paling kurang sebagai Adun. Paling maksimum pun sebagai Exco.
“Persoalan untuk menjawat jawatan menteri besar, beliau (Anwar) tidak berhak menentukan seorang diri. Lebih daripada itu Anwar perlu rujuk dan mendapat persetujuan ketiga-tiga parti,” katanya semasa Diskusi Demokrasi di Malaysia anjuran Kerajaan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.
Selain Khalid, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah turut menjadi panel yang dipengerusikan Pensyarah Politik, Prof Madya Datuk Dr Mohamaad Agus Yusoff.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, PKR dan Anwar menyedari bahawa terdapat usaha agresif dari pihak BN merampas Selangor seperti terjadinya isu rampasan Bible yang melibatkan jabatan agama negeri itu.
“Beliau (Anwar) ada pengalaman, sebagai Adun atau Exco. Beliau boleh berjumpa dengan pegawai yang terlibat dan memberikan penjelasan. Sekarang ini kalau beliau nak turun tak ada ‘locus standi’ (hubungan kuat), beliau bukan sebahagian dari pentadbiran kerajaan negeri Selangor, ia boleh membantu, bagi saya sebagai pemimpin Pas Selangor tidak ada ruginya,
“Bagaimanapun persoalan jawatan menteri besar ditimbulkan hanya untuk menakutkan orang ramai khususnya bukan Melayu dengan menggunakan isu, kalau nak kekal (Tan Sri) Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar, tentukan Anwar kalah, mereka (BN) menjadikan Abdul Khalid sebagai ikon pula,” katanya.
Dalam pada Saifuddin menyifatkan tindakan PKR itu tidak salah dari sudut demokrasi, malah ia turut dilakukan oleh Umno pada 1997 bagi mengantikan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.
Bagaimanapun, katanya apa yang membezakan kedua-dua polimik itu adalah Umno sudah jelas menyatakan tujuan PRK itu adalah untuk membawa masuk peneraju baru, tidak seperti apa yang dilakukan oleh PKR kini.
“Memang kita tahu (Tan Sri) Muhammad Taib letak jawatan. Manakala Datuk Abu Hassan Omar beliau orang Selangor dan kita tahu kalau menang dalam PRK akan ganti Muhammad Taib sebagai menteri besar, sama ada membazir atau tidak itu isu berlainan, kita kena melaluinya kerana ia adalah sistem,” katanya lagi. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment