KUALA LUMPUR – Anugerah Guru Hari Pengguna Malaysia (HPM) bakal diperkenalkan dalam Pertandingan Kepenggunaan sempena HPM tahun ini bagi memberi pengiktirafan kepada golongan pendidik.
Naib Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Siti Rahayu Zakaria berkata kategori baharu itu antara 12 kategori yang dipertandingkan bermula 10 Februari ini.
“Ia terbuka kepada guru sekolah rendah dan menengah, guru-guru berminat boleh menghantar penyertaan disertakan profil diri dan penglibatannya dalam aktiviti pendidikan kepenggunaan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Siti Rahayu berkata kategori lain ialah pertandingan mengarang esei kepenggunaan, video montaj, melukis dan mereka bentuk poster grafik, melukis kartun, blog dan fotografi kepenggunaan.
Pertandingan kempen penjimatan air ‘MyWater’ yang diperkenalkan pada tahun lepas, akan diteruskan tahun ini bagi mendidik golongan muda agar lebih bertanggungjawab terhadap penggunaan sumber air.
“Tahun ini, Fomca menyasarkan 200,000 penyertaan daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, penuntut institut pengajian tinggi dan orang awam,” katanya.
Tahun lepas, pertandingan itu menerima 117,021 penyertaan.
Siti Rahayu berkata sebanyak RM225,000 diperuntukkan sebagai hadiah keseluruhan pertandingan itu selain peserta diberi sijil penyertaan yang diiktiraf Kementerian Pendidikan.
Pertandingan Kepenggunaan HPM yang diperkenalkan sejak 2002 bertujuan melahirkan generasi pengguna yang bijak, berhemah dan sentiasa peka terhadap isu kepenggunaan.
Tarikh tutup pertandingan itu ialah pada 4 Julai 2014 dan maklumat lanjut boleh diperoleh di www.mypengguna.com. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment