Gambar hiasan |
Butterworth: Kebiasaannya kereta dicuri untuk dijual kepada pihak tertentu, tetapi ada geng yang melakukan jenayah curi kereta hanya mengambil rim tayar bagi mengaut keuntungan mudah.
Kejadian terbaru membabitkan kereta PROTON Wira dipercayai dicuri sebelum ditinggalkan dengan keempat-empat tayarnya ‘hilang’ di laluan sunyi di tepi Sungai Lokan, dekat sini, kelmarin.
Kelibat kereta tanpa tayar berkenaan disedari seorang penduduk yang kebetulan melalui jalan terbabit pada jam 10 pagi, manakala pencuri sudah meninggalkan tempat berkenaan.
Penduduk berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia percaya pencuri tidak menyasarkan kereta terbabit sebaliknya hanya mahu mengambil ‘rim sport’ kemungkinan untuk dijual kepada kedai kereta atau untuk kegunaan sendiri.
“Laluan di tepi Sungai Lokan agak sunyi dan lokasi kereta ditinggalkan jauh dari rumah penduduk. Pencuri sengaja memasuki laluan berkenaan untuk mendapatkan rim sebelum meninggalkan kereta begitu saja,” katanya.
Menurutnya, dia percaya kereta yang dicuri bukan milik penduduk kampung itu tetapi kemungkinan dicuri di tempat lain sebelum dibawa ke lokasi sunyi.
“Beberapa tahun lalu sebuah kereta curi juga ditinggalkan tidak jauh dari lokasi PROTON Wira terbabit ditemui (kelmarin),” katanya.
0 comments:
Post a Comment