KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi merancang mengkomersilkan sekurang-kurangnya 60 projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dihasilkan oleh syarikat tempatan tahun ini, kata Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.
Beliau berkata menjelang 2020, sejumlah 360 projek R&D dijangka dapat dikomersilkan.
“Antara lain, ia termasuk produk elektrik, makanan dan ubat-ubatan.
“Kami berharap menjualnya di pasar raya, farmasi dan rak-rak kedai untuk orang ramai,” kata Abu Bakar kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa IECEx 2014 di sini, hari ini.
“Cabaran yang dihadapi Malaysia ialah walaupun syarikat kita memenangi banyak anugerah antarabangsa untuk projek R&D, hasilkan masih kekal disimpan dan belum dapat dipasarkan.
“Strategi untuk melonjakkan Malaysia mencapai taraf negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 ialah mengkomersilkan hasil R&D seperti produk teknologi dan memasarkannya ke seberang laut,” katanya.
Abu Bakar berkata bagi mencapai matlamat itu, MOSTI memperuntukkan RM750 juta tahun ini untuk membantu syarikat tempatan dan institusi penyelidikan menjalankan R&D dan mengkomersilkan idea mereka. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment